PRU15: Pas Sabah belum berhasrat tentukan kerusi

Aliakbar mengedarkan limau mandarin kepada masyarakat Cina yang meraikan Tahun Baharu Cina di kawasan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Aliakbar mengedarkan limau mandarin kepada masyarakat Cina yang meraikan Tahun Baharu Cina di kawasan Sepanggar, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pas Sabah belum berhasrat untuk menentukan kerusi yang menjadi sasaran dalam pilihan raya akan datang sebaliknya lebih menumpukan kepada gerak kerja kebajikan untuk membantu masyarakat di negeri ini.

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, Pas di peringkat negeri ketika ini sentiasa menjalankan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan terutama bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

"Sampai satu peringkat di kawasan kita yang tiada Pas secara rasmi pun seperti di Kota Marudu tetapi pada waktu banjir, kita kerahkan ahli sehinggakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff pun turun.

"Jadi sebab itu saya lihat dalam konteks Pas, kita tidak mahu dulu terlalu berpolitik seperti menentukan kerusi memilih kawasan tertentu. Kita tidak melihat sempadan dan batas di mana ada masalah kita turun, di mana ada keperluan kita bantu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Tahun Baru Cina Pas Sabah, di Pejabat Pas Sepanggar, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika Pas Sabah sudah menetapkan kawasan yang menjadi sasaran untuk diletakkan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sehubungan itu, Aliakbar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas pusat menegaskan Pas peringkat negeri tidak menjadikan soal kerusi sebagai keutamaan pada ketika ini.

"Saya ingat di peringkat Pas Sabah, biarpun secara strategiknya mungkin ada tetapi pada peringkat ini tidak menjadi keutamaan untuk kita memikirkan soal pilihan raya dan juga menentukan kawasan yang menjadi tumpuan," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung jumlah jentera Pas Sabah yang akan digerakkan untuk membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum memutuskan lagi perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Di Melaka kita hantar kira-kira 150 orang. Mungkin dalam keadaan itu kita cuma ditempatkan di satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

"Jadi jika di Johor ditetapkan dua atau tiga kawasan DUN, mungkin jumlah itu akan bertambah melihat kepada keperluan dan arahan daripada parti," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Pas Sabah masih menunggu keputusan kerjasama antara Pas dengan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Saya difahamkan rundingan masih terus dijalankan dan jika ada keputusan, Pas Sabah akan menghantar sejumlah yang diperlukan mengikut kawasan yang ditentukan," katanya.