Sesi dialog ada pro dan kontra

Prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia.
Prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia.
A
A
A

PELBAGAI reaksi dilontarkan penyokong, pemerhati mahupun penganalisis bola sepak tanah air berhubung saranan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengadakan sesi dialog terbuka.

Dalam satu sesi wawancara bersama ASTRO Arena dan portal CakapSukan di Dubai minggu lalu, Tunku Ismail memberitahu sedia ‘duduk semeja’ dengan beberapa pakar bola sepak tanah air bagi menjawab pelbagai persoalan dan isu bola sepak Malaysia ketika ini.

Malah, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu mencadangkan tiga jurulatih termasuk bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selain Bojan Hodak dan Lim Teong Kim sebagai antara individu yang boleh dipanggil untuk sesi tersebut.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, beliau secara peribadi berpandangan sesi bersemuka itu masih belum mampu merungkai setiap isu berbangkit.

“Sebenarnya untuk apa kita nak sesi dialog? FAM dah tubuh badan siasatan bebas, biarlah FAM buat kerja mereka. Saya khuatir sesi dialog itu akan memanjangkan lagi isu yang timbul.

“Yang penting, TMJ dah bagi pandangan baginda. FAM pun dah kata akan ambil serius pandangan TMJ. Tapi jika saya dijemput (sertai sesi dialog) sekalipun, saya tak nak... bukan sebab takut, sebab bagi saya memang tak perlu sesi dialog.

“Lagipun dalam perlembagaan FAM, mana-mana ahli gabungan, pemegang taruh yang memberikan kritikan kepada FAM, boleh dikenakan hukuman penggantungan.

“Jadi bagi saya, tak ada point kalau isu ini dipanjangkan lagi. Kena ingat tahun 2022 ada banyak assignment, jangan kita hilang fokus disebabkan perkara seperti ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi legenda bola sepak kebangsaan, Khalid Ali yang khuatir sesi dialog itu, jika diadakan akan mengundang lebih banyak persepsi negatif.

“Saya lebih nampak sisi negatif daripada positif sekiranya sesi dialog itu diadakan. Ya... mungkin ada yang berpendapat, ia baik untuk pihak-pihak terlibat memberi pandangan demi bola sepak Malaysia.

“Cuma saya takut impak sesi dialog itu lebih mendatangkan spekulasi yang tidak baik. Bagi saya, kritikan terbuka hanya akan menjatuhkan maruah sebuah persatuan bola sepak negara.

“Nanti perbincangan itu jadi perdebatan. Saya tak minat (jika dijemput sertai sesi dialog)... saya tarik handbrake. Lebih baik semua pihak saling bekerjasama untuk membangunkan pasukan negara.

“Jika kita nak lihat bola sepak Malaysia kembali bangkit, sama-samalah kita bekerjasama, tidak kira anda seorang peminat, penyokong, pengkritik atau daripada mana-mana pihak,” ujar Khalid.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa menyambut baik sesi dialog secara terbuka itu.

Malah, beliau menganggap saranan Tunku Ismail itu mampu merungkai beberapa isu berbangkit kerana sesi tersebut memberi peluang kepada penyokong bertanya segala persoalan tanpa berselindung.