Liek Hou cari rentak di Sepanyol

Liek Hou
Liek Hou
A
A
A

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou mahu memberi sepenuh fokusnya dalam dua kejohanan di Sepanyol bulan depan bagi mendapatkan semula rentak permainannya selepas kali terakhir beraksi pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, tahun lalu.

Pemenang pingat emas perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal) di Jepun itu mengakui enggan memikirkan nasibnya di Sukan Para Asian 2022 di Hangzhou, China pada Oktober depan kerana tumpuannya ketika ini adalah untuk dua kejohanan di Sepanyol itu.

Pemain ranking nombor dua dunia berusia 33 tahun itu yang memulakan latihan sejak dua minggu lepas bagaimanapun tetap berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan serius menimpanya.

Juara Sukan Para Asia 2010 dan 2014 itu, juga mengakui faktor umur yang kian meningkat akan mengakibatkan kecederaan lambat pulih.

"Saya mula dengan perlahan-lahan dan sedang jalani latihan yang agak ringan dahulu.

"Saya dapati pergerakan di dalam gelanggang agak ‘berat’, tetapi saya tidak risau kerana saya akan cuba meningkatkan prestasi saya kembali (sebelum ke Sepanyol)," katanya dalam satu video yang dikongsi Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin.

Mengenai sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, beliau memaklumkan akan meraikan perayaan itu bersama keluarga dan rakan-rakannya di Tapah, Perak.

Sementara itu, jurulatihnya Datuk Rashid Sidek ketika dihubungi memberitahu Liek Hou yang ketika ini sedang bercuti akan kembali menyambung sesi latihan pada Isnin depan sebelum dijadual berlepas ke Sepanyol pada 26 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Jurulatih berusia 53 tahun itu turut menyasarkan Liek Hou untuk layak ke final dalam dua kejohanan berturut-turut di bumi Eropah itu nanti.

"Liek Hou akan menjalani latihan intensiti tinggi selepas kembali menjalani latihan Isnin ini...saya enggan letak tekanan kepadanya namun sasaran ke final itu dilihat realistik baginya ketika ini,” katanya. - Bernama