Sila log masuk terlebih dahulu.

Bersatu hati pulih ekonomi negara

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua pihak digesa bersatu hati menyokong usaha kerajaan dalam memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya sempena Tahun Baharu Cina berkata, ekonomi negara berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90 peratus sektor ekonomi dan kebanyakan aktiviti sosial.

"Sempena Tahun Harimau ini, diharap segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya," katanya pada Isnin.

Menurutnya, pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi telah divaksinasi.

"Dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 dan 6.5 peratus pada 2022.

"Ia selari dengan unjuran oleh IMF pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.

"Pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri harap kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sempena Tahun Baharu Cina
Ismail Sabri harap kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sempena Tahun Baharu Cina

Ismail Sabri berkata, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

"Semua ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peluang meraikan sambutan Tahun Baharu Cina diharap dapat dinikmati rakyat dengan mengeratkan serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan.

"Selepas dua tahun terpaksa menyambut tahun baharu dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga, pada tahun ini masyarakat Tionghoa dapat kembali meraikan Tahun Baharu Cina bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.

"Terima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang telah berganding bahu dengan kaum-kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

"Marilah kita sama-sama berdoa, semoga tahun ini membawa kemakmuran, kebahagiaan dan kesihatan yang baik untuk seluruh Keluarga Malaysia. Gong Xi Fa Chai Xin Nian Kuai Le," katanya.