Sila log masuk terlebih dahulu.

Kerajaan setuju RTM runding dapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2022

Annuar (tengah) melihat Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud (kiri) menerima simbolik kerjasama dari Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel pada Majlis Kerjasama tajaan antara Jakel dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wisma Jakel, pada Isnin. - Foto Bernama
Annuar (tengah) melihat Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud (kiri) menerima simbolik kerjasama dari Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel pada Majlis Kerjasama tajaan antara Jakel dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wisma Jakel, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan secara prinsipnya sudah bersetuju untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) berunding dengan ejen dilantik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan hak penyiaran bagi Piala Dunia 2022.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan rundingan itu akan diketahui dalam masa terdekat.

"Insya-Allah kita perlu sedikit masa lagi untuk memuktamadkannya (rundingan) tetapi sudah pasti RTM akan menjadi salah satu saluran yang akan menyiarkan World Cup 2022," katanya selepas melancarkan Majlis Kerjasama Tajaan Jakel dan RTM di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai perkembangan dalam mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2022.

Mengenai kerjasama Tajaan Jakel dan RTM itu, Annuar berkata: "Saya berharap agar kerjasama seumpama ini akan dikembangkan lagi pada masa hadapan agar RTM terus kekal unggul dan menjadi pilihan nombor satu seluruh Keluarga Malaysia selaras dengan Pelan Transformasi RTM 2021-2023.

"Ini juga merupakan antara langkah penambahbaikan stesen penyiaran ini dalam pelan pembangunan agenda Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sejak 2021," katanya.

Kerjasama Tajaan Jakel dan RTM itu menyaksikan jalinan kerjasama strategik penajaan pakaian ikon Berita Perdana RTM selama enam bulan bermula 3 Februari ini, setiap hari pada 8 malam di saluran TV1 dan Berita RTM.

Kolaborasi ini antara usaha transformasi komponen Berita dan Ehwal Semasa RTM yang melibatkan penambahbaikan kepada kandungan berita dan penyampaian serta penampilan personaliti penyampai atau ikon siaran RTM. - Bernama

Artikel Berkaitan: