Persatuan gereja Sarawak rayu kekalkan keamanan

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) merayu supaya keamanan, perpaduan dan keharmonian sentiasa dikekalkan dalam kalangan rakyat Malaysia serta semua negara di dunia.

Dalam kenyataan di sini hari ini, persatuan itu berkata ACS amat dukacita dengan insiden serangan pengganas ke atas dua masjid di New Zealand pada Jumaat, yang mengakibatkan 50 orang terkorban.

“Mangsa tidak bersalah dan tidak berdaya mempertahankan diri, tambahan pula mereka sedang melaksanakan tugas serta kewajipan mereka dengan mengerjakan solat Jumaat ketika insiden tembakan itu berlaku.

“Hak bagi setiap insan adalah kesaksamaan hak, kebebasan beragama dan menjalani kehidupan, sememangnya tidak dapat dipisahkan serta dianggap paling asas dalam semua hak asasi manusia di bawah Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 yang mesti didukung dan dipatuhi oleh semua negara di dunia,” menurut kenyataan itu.

ACS turut merakamkan takziah dan simpati kepada keluarga semua mangsa yang terkorban serta mendoakan semoga mereka yang tercedera cepat sembuh. -Bernama

Artikel Berkaitan: