Guru agama diperintah bela diri lakukan amang seksual

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin memerintahkan guru agama di sebuah maahad tahfiz, Ajmal Mohamed Mohamed Khairi, 26, untuk membela diri atas satu pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, empat tahun lepas. - Foto Bernama
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin memerintahkan guru agama di sebuah maahad tahfiz, Ajmal Mohamed Mohamed Khairi, 26, untuk membela diri atas satu pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, empat tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin memerintahkan seorang guru agama di sebuah maahad tahfiz untuk membela diri atas satu pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Hasbullah Adam mengeluarkan perintah itu ke atas Mohamad Ajmal Mohamed Khairi, 26, untuk hadir membela diri di Mahkamah Sesyen Ampang, pada jam 2 petang Isnin.

Mohamad Ajmal sebelum ini telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada 4 Oktober 2019 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tiga pertuduhan ke atasnya.

Hasbullah membuat keputusan itu setelah meneliti rekod rayuan oleh pihak pendakwa raya untuk kes itu serta mengambil kira hujahan bertulis kedua-dua pihak-pihak.

Mengikut pertuduhan Mohamad Ajmal, dituduh kesalahan melakukan amang seksual fizikal ke atas pelajar itu di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mohamad Ajmal juga dituduh melakukan kesalahan melakukan amang seksual fizikal di bawah Seksyen 14(b) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta serupa yang memperuntukkan hukuman sama.

Selain itu, Hasbullah berkata Mohamad Ajmal juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mohamad Ajmal didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah Maahad Tahfiz pada 8 Jun 2018.

Artikel Berkaitan:

Hasbullah berkata, pendengaran penuh bagi kes rayuan tersebut telah dijalankan pada 25 Januari lepas di Mahkamah Tinggi yang mana pihak perayu iaitu pihak pendakwa raya dan responden telah bersetuju bahawa rayuan dibuat berdasarkan kepada penghujahan bertulis.

"Setelah meneliti rekod rayuan dalan kes ini dan mengambil kira hujahan bertulis yang telah dibuat oleh pihak-pihak, mahkamah mendapati wujud kes prima facie bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan - Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Manakala untuk dua lagi pertuduhan, Hasbullah berkata, pihak pendakwaan gagal mewujudkan sebarang kes prima facie.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali manakala Mohamad Ajmal diwakili Peguam Ahmad Ishrakh Saad. - Bernama