Tiada laporan diterima berkaitan penyakit ayam di Perak

Razman (kiri) meninjau aduan penduduk berhubung keadaan parit yang tidak diselenggara di Tebok Panchor.
Razman (kiri) meninjau aduan penduduk berhubung keadaan parit yang tidak diselenggara di Tebok Panchor.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan Perak tidak menerima sebarang laporan berhubung kematian ayam akibat penyakit hingga berlaku kekurangan telur di pasaran sejak bulan lalu.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, bagaimanapun pihaknya mengambil perhatian berhubung isu berkenaan.

"Sehingga kini kita masih belum menerima apa-apa laporan berkaitan penyakit ayam telur daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Saya diberitahu bekalan telur ayam di pasaran mencukupi, namun sekiranya ada perkembangan baharu kita akan maklumkan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan penambahbaikan saliran dan perparitan sekitar kawasan Gunung Semanggol dan Selinsing di sini, pada Isnin.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan pemborong mengakui terpaksa mencatu bekalan telur ayam berikutan stok diterima daripada pembekal berkurang daripada 27,000 biji kepada 3,000 biji sehari.

Pembekal memaklumkan bahawa punca kekurangan telur itu disebabkan ayam banyak mati akibat penyakit selain kekurangan pekerja dan harga makanan ayam yang mahal.

Dalam perkembangan lain, Razman berkata, paras air di Empangan Kolam Tasik Bukit Merah di sini yang kian menyusut dikhuatiri menjejaskan proses penanaman padi di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suatu perbincangan akan diadakan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian negeri dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.

"Sepanjang tempoh sehingga Februari sekiranya tiada hujan dan takungan air pada tahap kritikal kita akan pohon untuk lakukan pembenihan hujan.

"Kaedah lain adalah penjadual semula pengairan sawah di kompartmen terlibat. Akan berlaku anjakan dalam jadual itu," katanya.