Dokumen kes Pulau Batu Puteh tidak boleh didedah kepada pihak luar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin membenarkan permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia, supaya dokumen-dokumen dalam kes saman berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh, tidak didedahkan kepada pihak yang tidak terlibat dalam kes saman itu.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan, berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan perintah perlindungan yang difailkan pihaknya pada 29 November tahun lepas.

"Mahkamah menetapkan 1 Mac ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pendengaran permohonan itu secara dalam talian, yang turut disertai SFC Shamsul Bolhassan.

Peguam Mohaji Selamat yang mewakili Mohd Hatta Sanuri selaku plaintif dalam saman itu ketika dihubungi, turut mengesahkan perkara tersebut.

Berdasarkan notis permohonan, defendan-defendan memohon perintah bahawa semua material dan dokumen yang dikemukakan sebagai ekshibit dalam sebarang permohonan interlokutari dan perbicaraan kes saman itu (dokumen-dokumen sulit), hanya boleh didedahkan kepada pihak-pihak dalam kes tersebut, peguam yang mewakili plaintif dan defendan, saksi-saksi perbicaraan serta pihak-pihak yang difikirkan perlu oleh mahkamah.

Mereka juga memohon perintah bahawa pihak-pihak yang diberi akses kepada dokumen-dokumen sulit, hendaklah pada setiap masa menjaga kesulitan dan kerahsiaan dokumen sulit berkenaan termasuklah tidak mendedahkan kepada mana-mana pihak, selain daripada mereka yang dibenarkan oleh mahkamah.

Selain itu, salinan bercetak dokumen dalam kes saman berkenaan (sekiranya perlu), diperintahkan hendaklah disimpan dengan selamat oleh hakim yang mendengar kes saman terbabit.

Turut dipohon, satu perintah untuk memastikan dokumen sulit tidak dikategorikan sebagai umum, dan tidak boleh dibuka untuk pemeriksaan atau apa-apa salinan dalam apa jua bentuk termasuk pemeriksaan dalam talian secara e-filing, selain memohon prosiding dan perbicaraan kes saman itu dijalankan secara tertutup.

Artikel Berkaitan:

Permohonan tersebut dibuat atas alasan antaranya dokumen dan maklumat yang akan didedahkan dalam kes saman itu, adalah berstatus dokumen berperingkat dan bertaraf rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Dokumen serta maklumat yang akan didedahkan dalam kes saman itu perlu dilindungi, bagi mengelak sebarang perselisihan faham dan demi menjaga hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura, serta perintah perlindungan itu bagi mengelak material dan maklumat yang terkandung dalam dokumen-dokumen sulit, dimanipulasi dan disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," menurut kedua-dua defendan dalam permohonan itu.

Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ, sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei tahun lepas, Mohd Hatta, 46, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis, mengapa mereka telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018, sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Mohd Hatta turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh, dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan), untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Februari 2017 sehingga defendan-defendan menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018. - Bernama