Mangsa ribut terima bantuan RM1,300

Saarani (kiri) melihat keadaan sebuah rumah penduduk yang rosak teruk akibat ribut di Kampung Desa Sri Chepor, Klebang di sini pada Isnin.
Saarani (kiri) melihat keadaan sebuah rumah penduduk yang rosak teruk akibat ribut di Kampung Desa Sri Chepor, Klebang di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Mangsa kejadian ribut dan puting beliung yang mengalami kerosakan rumah akibat bencana yang melanda beberapa kawasan di sini petang Ahad akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,300.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kecemasan berupa wang tunai RM300 kepada semua mangsa ribut melibatkan 219 rumah di empat kawasan di sini mulai petang ini.

Menurutnya, mereka juga akan menerima bantuan bencana daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,000 dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kinta sedang melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah di kawasan terlibat.

"Kita memahami masalah yang dihadapi ketika ribut ini ialah nak kena selesaikan dengan segera bumbung mereka yang tercabut atau bilangan zink yang diterbangkan angin kerana bimbang jika hujan akan memberi kerosakan lebih teruk dalam kawasan rumah tersebut.

"Maka pada hari ini kerajaan negeri seperti biasa kita akan beri dulu wang ihsan RM300 kepada setiap rumah yang terlibat. Wang akan dibayar di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta," katanya kepada pemberita selepas meninjau kesan ribut di Kampung Desa Sri Chepor, Klebangdi sini pada Isnin.

Hadir sama pada lawatan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd Yazid serta Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Saarani berkata, lantikan segera kontraktor dibuat bagi membolehkan syarikat terpilih membeli segera bahan-bahan keperluan untuk baik pulih rumah memandangkan kebanyakan kedai perkakasan akan menutup operasi sempena Tahun Baharu Cina bermula esok.

Artikel Berkaitan:

Katanya, apabila barang-barang keperluan sudah ada, kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama bagi kediaman yang mengalami kerosakan teruk akibat kejadian ribut itu.

Dalam kejadian ribut yang berlaku pada petang Ahad, sebanyak 219 rumah kediaman rosak di empat lokasi berbeza sekitar Ipoh iaitu Kampung Tawas, Taman Tasek Damai, Desa Sri Chepor dan Taman Desa Impian.