Terbuka Australia: Federer, Djokovic tabik pencapaian Nadal

Nadal raikan kejayaan menewaskan Daniil Medvedev. -Foto EPA
Nadal raikan kejayaan menewaskan Daniil Medvedev. -Foto EPA
A
A
A

SETERU rapat Rafael Nadal menyifatkan kejayaan pemain nombor lima dunia tersebut merangkul kejuaraan Terbuka Australia di Rod Laver Arena sebagai suatu pencapaian paling luar biasa.

Menurut Roger Federer, Nadal mempamerkan tahap disiplin tinggi apabila mengetepikan kecederaan untuk bangkit menewaskan Daniil Medvedev pemain yang 10 tahun lebih muda daripadanya.

"Beberapa bulan lalu kami berdua bergurau kedua-dua kami akan bertongkat kerana kecederaan. Namun Nadal cukup luar biasa. Jangan sesekali memandang rendah seorang juara yang hebat.

"Etika kerja Nadal yang luar biasa, dedikasi dan semangat juang anda adalah inspirasi kepada saya dan ramai orang lain di seluruh dunia.

"Sejujurnya saya amat berbangga dapat berkongsi era ini dengan anda. Malah berbesar hati dalam mendorong anda meraih lebih banyak kejuaraan pada masa depan," ujar Roger Federer pemain Switzerland berusia 40 tahun yang berstatus ranking 30 dunia.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Nadal sambil menyifatkan pencapaian dilakar pemain tersebut sebagai sesuatu yang menakjubkan.

"Semangat juang anda yang sentiasa mengagumkan semua. Semoga akan berterusan dan berjaya pada masa depan," ujar juara Terbuka Australia 2021 itu.

Nadal dari Sepanyol sebelum itu meraih kejuaraan Terbuka Australia selepas bangkit menewaskan pemain nombor dua dunia, Daniil Medvedev dengan kemenangan dramatik 2-6, 6-7 (5/7), 6-4, 6-4, 7-5 dalam aksi selama 5 jam 24 minit itu.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan merangkul kejuaraan Grand Slam di Australia itu juga memahat sejarah baharu buat Nadal yang berusia 35 tahun apabila menjadi pemain tenis pertama meraih 21 gelaran Grand Slam paling banyak mengatasi pesaing terdekat Roger Federer dan Novak Djokovic.