PKPS fokus pertanian moden, beralih kepada teknologi digital

A
A
A

Amirudin (tengah) melancarkan Jubli Emas dan Showcase Produk Ehsan sempena majlis pelancaran Sambutan Jubli Emas PKPS di Wisma PKPS.
Amirudin (tengah) melancarkan Jubli Emas dan Showcase Produk Ehsan sempena majlis pelancaran Sambutan Jubli Emas PKPS di Wisma PKPS.

Selama 50 tahun, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) teguh berbakti kepada rakyat Selangor seiring dengan peredaran zaman yang memerlukan adaptasi teknologi dan inovasi untuk kekal relevan.

PKPS menjadi sebahagian daripada sejarah penting kepada industri pertanian Selangor dan memainkan peranan signifikan dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi rakyat khususnya petani dan peniaga kecil.

Malah sejak awal penubuhannya, evolusi PKPS daripada sebuah organisasi hanya tertumpu kepada penanaman kelapa sawit kini mula berkembang kepada bidang lain termasuk bidang korporat komersial dan pemasaran.

DR MOHAMAD KHAIRIL
DR MOHAMAD KHAIRIL

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi yang meneruskan usaha itu, mahu memfokuskan ke arah pertanian moden sempena 50 tahun penubuhan agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, fokus ke hadapan PKPS kini adalah untuk mengasimilasi teknologi dan pendigitalan dalam sektor pertanian.

"Kita sedang melaksanakan beberapa fasa pendigitalan di semua peringkat khususnya dalam sektor pertanian bersandarkan kepada kerangka internet of things (IOT), artificial intelligence dan real time analytics.

“Ini bermakna kita akan menumpukan kepada kaedah pertanian moden dengan memanfaatkan tanah sedia ada menggunakan teknologi baharu termasuk membantu bangunkan usahawan tani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PKPS bertemakan Perkasa Pertanian Moden, Memacu Ekonomi Selangor di Wisma PKPS di Shah Alam, pada Khamis.

Amirudin (kanan) menuang air ke dalam pasu simbolik melancarkan Jubli Emas Sambutan Jubli Emas PKPS yang diadakan di Wisma PKPS, di sini pada Khamis.
Amirudin (kanan) menuang air ke dalam pasu simbolik melancarkan Jubli Emas Sambutan Jubli Emas PKPS yang diadakan di Wisma PKPS, di sini pada Khamis.

Produk pertanian jenama Ehsan turut dilancarkan dan berada di pasaran pada Januari tahun ini dengan menyasarkan sekurangnya-kurangnya RM23 juta nilai jualan selepas setahun produk pertanian segar berkenaan dilancarkan.

Pelancaran produk itu juga sebagai inisiatif PKPS menembusi industri runcit tempatan dengan membantu memasarkan produk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Jenama Ehsan juga salah satu inisiatif PKPS untuk penjenamaan dan merombak PKS berbanding tertumpu kepada pertanian atau industri seperti kelapa sawit kepada industri hiliran.

Pelancaran produk segar jenama Ehsan seperti ayam segar, sayur-sayuran dan buah-buahan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin.

Mohamad Khairil mengiringi Amirudin pada majlis pelancaran produk segar jenama Ehsan seperti ayam segar, sayur-sayuran dan buah-buahan yang akan dipasarkan di premis jualan Wisma PKPS, Shah Alam serta beberapa pasaraya terpilih selain jualan secara dalam talian.

Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Exco Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.

PKPS mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas itu bagi menzahirkan penghargaan kepada warga kerjanya termasuk kepimpinan terdahulu yang mencorak hala tuju perbadanan sehingga ke hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata, meniti usia 50 tahun, kewujudan PKPS telah menjadi sebahagian daripada sejarah penting kepada industri pertanian negeri berkenaan malah terus mengorak langkah ke hadapan.

Naik taraf hidup rakyat

Amirudin melihat Produk Ehsan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas PKPS yang diadakan di Wisma PKPS, di sini pada Khamis.
Amirudin melihat Produk Ehsan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas PKPS yang diadakan di Wisma PKPS, di sini pada Khamis.

Menurut Mohamad Khairil, sebagai agensi negeri yang turut diberi tanggungjawab menerajui inisiatif sekuriti makanan, PKPS terus menyusun strategi mampan untuk memastikan rantaian bekalan makanan di negeri ini berada pada tahap optimum.

"Ia seiring dengan pengalaman dan anjakan yang menjadi fokus kepada sambutan Jubli Emas ini, sesuai dengan tema yang dipilih iaitu “Perkasa Pertanian Moden, Memacu Ekonomi Selangor".

"Saya beriltizam untuk terus menjenamakan PKPS sebagai sebuah agensi yang bukan sahaja menjadi pemangkin kepada industri agro-makanan di Selangor, malah mendapat keyakinan di peringkat kerajaan negeri sebagai ejen pelaksana inisiatif rakyat," katanya.

Jelasnya, beberapa program menarik telah direncana untuk memeriahkan Sambutan Jubli Emas PKPS antaranya, Larian Jubli Emas PKPS 2022 serta Karnival Selangor Fruit Valley selain beberapa program jualan murah produk segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

MB mahu PKPS susun strategi mampan

PKPS digesa menyusun strategi yang mampan untuk memastikan rantaian bekalan makanan di negeri Selangor berada pada tahap optimum.

AMIRUDIN
AMIRUDIN

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negara mendapat pengajaran yang sangat besar ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Katanya, sudah tiba masanya bagaimana cara untuk kita mengekalkan bekalan makanan terutama persediaan kita ketika berdepan dengan sebarang krisis.

“Perubahan untuk masa depan tanpa dijangka perlu dilakukan agar situasi sama atau lebih berat boleh ditangani dengan lebih baik menerusi persediaan dan perancangan awal.

"Perlu ada ketangkasan dan adaptasi untuk kita tangani krisis yang mungkin datang dengan skala lebih. Jika situasi lebih berat, krisis atau kualiti negeri maju yang ada pada negeri Selangor akan turut terkesan.

"Perubahan semasa akibat pemanasan global menyebabkan berlaku perubahan suhu tidak terjangka dengan begitu cepat yang turut memberi kesan kepada harga bekalan makanan kerana ia turut mempengaruhi kualiti hasil produk kita," katanya yang hadir pada Majlis Sambutan Jubli Emas Ke-50.

Beliau yakin perkara itu menjadi penelitian utama kerajaan negeri di bawah portfolio Exco Kerajaan Negeri, Hee Loy Sian yang akan fokus tentang langkah harus dilakukan dalam menangani dan beradaptasi dengan perubahan iklim.

Menurutnya, ia termasuk untuk memastikan sektor pertanian terpelihara, risiko bencana alam, kesan perubahan iklim, peralihan monsun dan sebagainya.

Sementara itu, beliau berharap agar PKPS terus mencatatkan kegemilangan sebagai peneraju dan pemancu kepada sektor pertanian negeri Selangor.

“PKPS bukan hanya menjadi sektor sekunder atau sektor hiliran sebaliknya penyumbang penting kepada ekonomi kepada kelestarian pembangunan ekonomi negeri.

"Saya ucap tahniah kepada PKPS bagi 50 tahun yang lepas. InsyaAllah kita akan bergerak 50 akan datang dan semoga PKPS kekal komited untuk terus berbakti kepada rakyat," tambahnya.

Amirudin menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas PKPS yang diadakan di Wisma PKPS, di sini pada Khamis.
Amirudin menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas PKPS yang diadakan di Wisma PKPS, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Exco Infrasruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim berkata, kerajaan negeri meletakkan harapan tinggi kepada PKPS untuk menerajui sektor pertanian dan industri agro-makanan di negeri.

“Kita telah menyusun semula PKPS dan membuat perubahan yang sesuai bagi memikul tugas ini," katanya.

Alami perubahan ketara

ROSNANI
ROSNANI

"Saya dapat lihat perubahan besar dari segi mentaliti kakitangan dan pihak pengurusan kerana dahulu kita boleh diibaratkan seperti kakitangan kerajaan yang tidak terlalu memikirkan mengenai hal keuntungan. Namun sekarang, semua sudah bergerak ke hadapan dan apa sahaja pelaburan dan keputusan yang dibuat perlu disepakati sama ada ia akan memberi pulangan berbaloi atau sebaliknya dengan usaha yang kita laksanakan. Bagaimanapun dalam kita mengejar pencapaian yang baik kita tidak pernah lupa hasrat utama penubuhan PKPS iaitu untuk membangunkan Selangor dan rakyatnya kerana apa sahaja keuntungan kita akan pulangkan semula kepada kerajaan negeri Selangor.” - Pengurus Besar Sektor Perniagaan Dan Pemasaran PKPS, Rosnani Abdul Malek

NORAINI
NORAINI

“PKPS telah melalui keadaan suka dan duka namun semuanya ditempuhi dengan tabah sepanjang 50 tahun penubuhannya. Kira akan terus bergerak untuk kemajuan rakyat Selangor dengan mendepani era baharu yang lebih kepada pendigitalan untuk mencapai sasaran lebih tinggi walaupun dengan aset yang terhad.” - Pengurus Besar Sektor Khidmat Pengurusan dan Sekretariat, Noraini Mohamad Ramlan

PANGOT
PANGOT

“Sebagai sebuah agensi kerajaan memang kita amat memerlukan pengeluaran yang maksimun bagi memastikan bekalan makanan terutama untuk negeri Selangor dan rakyat Selangor mencukupi terutama di unit kami. Sektor kami di Bahagian Komoditi dan Pengeluaran Makanan walaupun sebelum ini lebih menumpukan kepada pembangunan kelapa sawit, tetapi sejak kebelakangan ini kita terus membuka jalan untuk melebarkan sayap di bahagian pengeluaran makanan terutama untuk produk-produk hiliran. Kami berbangga dengan perkembangan yang telah ditunjukkan oleh semua warga kerja PKPS.” - Pengurus Besar Sektor Pengeluaran Komoditi dan Makanan, Pongot Sajab

RUANGAN INFO:

Mengenai PKPS

- Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor atau dikenali sebagai PKPS adalah anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Selangor ditubuhkan pada tahun 1972 di bawah Enakmen No. 12 1972 (pindaan 1976, 1982 dan 2005).


- PKPS bertanggungjawab memacu sektor pertanian dan agro-makanan negeri sejajar dengan perkembangan sosio ekonomi rakyat Selangor melalui pelbagai projek komersial dan tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) yang berimpak tinggi.

Sejarah PKPS

- Lembaga Pinjaman Padi Negeri Selangor (LPPNS) telah ditubuhkan pada tahun 1966 dan berperanan untuk menebus tanah sawah, memberi pinjaman kepada petani untuk membeli tanah sawah dan memberi pinjaman bagi pembelian jentera untuk kegunaan di sawah.

- LPPNS telah dibubar dan digantikan dengan penubuhan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS).

- PKPS ditubuhkan pada 2 Januari 1972 di bawah Enakmen No. 12 1972 (pindaan 1976, 1982 dan 2005) dan bermula beroperasi pada 1 Mac 1973.

- PKPS bertanggungjawab untuk memajukan industri perladangan dan asas tani bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi negeri Selangor di samping menjalankan projek-projek komersil untuk faedah rakyat.

- PKPS dalam tempoh 2010 hingga kini ke arah mengembangkan aktiviti komersil dengan memperluaskan kawasan penanaman kelapa sawit, getah dan pengeluaran buah-buahan tempatan.

- Projek ternakan ayam berteknologi tinggi, projek ternakan tenusu lembu dan projek ternakan ikan air tawar adalah sebagai sumbangan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri Selangor selari dengan penggunaan teknologi digital dan media sosial.

Visi

- Menjadi organisasi korporat yang kukuh dalam melestarikan sustainable pemodenan pertanian negeri Selangor.

Misi

- Melaksanakan projek-projek pertanian komersil ke arah pemodenan pertanian.

- Mengamalkan tadbir urus korporat yang berintegriti.

- Membentuk modal insan yang komited.

- Menyokong program tanggungjawab sosial korporat negeri Selangor.

- Melaksanakan projek hiliran produk pertanian yang bermutu tinggi.