Hujan lebat korbankan sekurang-kurangnya 18 orang di Brazil

Gambar antara kawasan banjir. Foto AFP
Gambar antara kawasan banjir. Foto AFP
A
A
A

SAO PAULO - Banjir dan tanah runtuh kerana hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang maut di negeri Sao Paulo, Brazil, kata Gabenor Joao Doria, pada Ahad.

"Saya sangat berdukacita melihat kerosakan yang terjadi akibat hujan lebat. Kami sedang berusaha untuk menyelamat dan saya telah meluluskan peruntukan sumber untuk membantu mereka yang terjejas," kata Doria di media sosial, lapor Xinhua.

Antara mangsa yang maut akibat ribut pada Ahad ialah 11 orang dewasa dan tujuh kanak-kanak, manakala kira-kira 500 keluarga terpaksa berpindah dari rumah mereka, menurut jabatan bomba tempatan.

Kematian dicatatkan di kawasan majlis perbandaran Francisco Morato, Franco da Rocha, Varzea Paulista, Aruja, dan Embu das Artes, semuanya di kawasan metropolitan Sao Paulo dan di bandar Ribeirao Preto.

Di Varzea Paulista, sepasang suami isteri dan tiga anak mereka meninggal dunia, termasuk seorang bayi berusia setahun, apabila lereng bukit lokasi rumah mereka runtuh pada pagi Ahad.

Selain itu, bandar Franco da Rocha dinaiki air apabila Sungai Juquery dan aliran Ribeirao Eusebio melimpah, manakala di Bauru, hujan menyebabkan lubang di tengah jalan raya akibat mendapan tanah. - Bernama

Artikel Berkaitan: