Cisse lega Senegal ke separuh akhir

Pemain gantian Senegal, Ismaila Saar (kiri) cuba melepasi asakan pemain pertahanan Equatorial Guinea pada aksi suku akhir AFCON. - Foto AFP
Pemain gantian Senegal, Ismaila Saar (kiri) cuba melepasi asakan pemain pertahanan Equatorial Guinea pada aksi suku akhir AFCON. - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Senegal, Aliou Cisse lega apabila skuad kendaliannya itu berjaya mara ke separuh akhir kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2022 setelah menewaskan skuad ‘pembunuh gergasi’ Equatorial Guinea 3-1 di Stadium Omnisport Ahmadou Ahidjo, pada Ahad.

Menurut Cisse, biarpun berjaya membuka jaringan pada minit ke-28, pihaknya cemas seketika apabila skuad yang terkenal dengan jolokan National Thunder itu menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

“Perlawanan ini sememangnya sengit dan Equatorial Guinea sememangnya memberikan kesukaran buat kami di sepanjang perlawanan.

“Mujurlah pertukaran taktikal yang dilakukan menjadi dan pemain simpanan kami berjaya menjaringkan dua gol bagi memastikan kemenangan pasukan,” kata bekas pemain Senegal itu yang pernah beraksi pada Piala Dunia 2002.

Pada perlawanan berkenaan, Senegal membuka jaringan menerusi Famara Diedhiou pada minit ke-28, namun pemain Equatorial Guinea berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57.

Bagaimanapun dua pemain gantian, Cheikhou Kouyate menjaringkan gol kedua pada minit ke-68 disusuli Ismaila Sarr (minit-79), bagi mengesahkan kemenangan skuad Lions Of Teranga itu.

Sementara itu, pengendali Equatorial Guinea, Juan Micha berkata, pihaknya akur dengan kekalahan berkenaan dan menyifatkan Senegal sebagai pasukan yang lebih baik pada perlawanan berkenaan.

“Momentum kami memang agak baik pada edisi kali ini dan kami telah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini.

Artikel Berkaitan:

“Namun, pasukan yang kami tentang hari ini (Ahad), bukanlah pasukan yang kami pernah tewaskan pada AFCON 2012 lalu,” katanya.