Hidup sebatang kara di rumah uzur, bocor

Keadaan rumah Rujia yang kelihatan uzur dan dinding bocor selepas didiaminya sejak lebih 10 tahun lalu di Kampung Asin-Asin, Kota Marudu.
Keadaan rumah Rujia yang kelihatan uzur dan dinding bocor selepas didiaminya sejak lebih 10 tahun lalu di Kampung Asin-Asin, Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Seorang wanita warga emas bukan saja tinggal sebatang kara tetapi juga terpaksa mendiami rumah uzur di Kampung Asin-Asin, di sini.

Rujia Bombo, 71, berkata, rumah itu didiaminya sejak lebih 10 tahun lalu dan menetap bersendirian selepas kematian anak serta suaminya beberapa tahun lalu.

"Ini adalah rumah saya sendiri tetapi keadaannya sudah terlalu uzur apabila dinding dan atap rumah bocor di merata tempat.

Rujia di hadapan rumahnya di Kampung Asin-Asin, Kota Marudu.
Rujia di hadapan rumahnya di Kampung Asin-Asin, Kota Marudu.

"Kalau hujan, sudah tentu terkena tempias dan saya cuma boleh tutup menggunakan plastik. Kalau hujan lebat, tidak dapat menampung dan menyebabkan lantai serta tilam saya basah terkena hujan," luah ibu tunggal itu ketika ditemui di kediamannya di sini pada Sabtu.

Menurut Rujia, dengan pendapatan yang tidak menentu hasil daripada menjual siput dan lokan menyebabkan dia tidak mampu untuk membaiki rumahnya itu.

"Pendapatan saya seharian hanya daripada jualan siput dan lokan yang dicari di laut yang terletak kurang setengah jam dari rumah.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya saya cari siput dan lokan dengan menaiki basikal dan menjualnya di tepi jalan. Hasilnya itulah digunakan untuk membeli barangan makanan seperti beras, gula dan sebagainya.

"Jadi sudah tentu saya tidak mampu untuk membaiki mana-mana bahagian rumah yang bocor termasuk tiang yang sudah mulai senget," katanya.

Rujia mendakwa dia tidak menerima sebarang bantuan kebajikan daripada mana-mana agensi berkaitan.

"Saya juga ada memohon supaya rumah dibaiki namun sehingga kini belum menerima sebarang khabar mengenainya," katanya.

Anifah menyampaikan sumbangan kepada Rujia dalam kunjungannya di Kampung Asin-Asin, Kota Marudu.
Anifah menyampaikan sumbangan kepada Rujia dalam kunjungannya di Kampung Asin-Asin, Kota Marudu.

Sementara itu, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman yang membuat kunjungan turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kampung itu termasuk Rujia.

"Hari ini kita turun menyampaikan sumbangan 300 pek beras dan telur untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

"Saya tidak berjanji tetapi kita akan bantu mana yang boleh," katanya ketika berkunjung ke rumah Rujia.