Malaysia perlu segerakan reformasi

Gambar hiasan- Foto 123RF, gambar kecil: Tricia Yeoh
Gambar hiasan- Foto 123RF, gambar kecil: Tricia Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Kepelbagaian kes rasuah melibatkan badan-badan utama negara pada tahun lalu menjadikan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia semakin 'kabur' dan menyaksikan turun lima anak tangga kepada kedudukan ke-62 berbanding tangga 57 pada tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, penanda aras CPI mengambil kira isu rasuah dalam sektor awam, kes rasuah dalam badan-badan penting negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelas beliau, beberapa kes melibatkan pegawai SPRM dilihat telah mencemar integriti institusi yang sepatutnya menjadi pihak nombor satu dalam mencegah perbuatan rasuah di negara ini.

Menurut beliau, berikutan beberapa kes salah laku pihak penguat kuasa di pelbagai peringkat sama ada persekutuan dan negeri sepanjang tahun 2021 telah mengundang kepada persepsi buruk daripada masyarakat.

"Semua yang berlaku ini menyebabkan trend CPI Malaysia semakin menurun dan menjadi tidak konsisten sejak tahun 2018.

"Kesan daripada perspektif tidak baik dan penurunan CPI ini, ia akan menyukarkan lagi proses pemulihan pasca Covid-19.

"Malah impak negatif juga akan berlaku terhadap keyakinan para pelabur dari luar negara untuk jangka masa pendek, selain membantutkan lagi usaha untuk memulihkan krisis kepercayaan rakyat terhadap institusi awam," tegas beliau kepada kru Rasuah Busters.

Mengulas lanjut, Tricia memberitahu, langkah yang perlu dilakukan bagi membaiki CPI dan imej negara pada mata dunia adalah dengan mengadakan reformasi institusi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, reformasi institusi itu penting terutamanya melibatkan kemandirian SPRM dan penggubalan undang-undang pendanaan politik.

Menurutnya, lebih banyak usaha perlu dilakukan dari peringkat kerajaan termasuk menimbang permohonan pelaksanaan cadangan-cadangan pembaharuan daripada masyarakat umum.

"Perlu sebuah badan baharu atau mengembalikan peranan Pusat Governans, Integriti, dan Antirasuah (GIACC) bagi memantau proses perjalanan integriti dalam kalangan warga pentadbiran atau pelaksana polisi.

"Selain itu, kerajaan juga perlu melaksanakan semula semua inisiatif dalam membasmi jenayah korupsi," katanya.