Wan Azizah tiba di Perancis

Dr Wan Azizah (kanan) ketika beramah mesra bersama rakyat Malaysia ketika tiba di pekarangan hotel penginapan untuk memulakan lawatan kerja lima hari ke Paris, Perancis hari ini bagi menyertai Program Majlis Pengurusan Transformasi Sosial Antara Kerajaan (IGC MOST) dan Sesi ke-14 IGC, MOST. - Foto Bernama
A
A

PARIS - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di sini untuk lawatan kerja empat hari sehingga Rabu.

Beliau yang menaiki pesawat komersil mendarat di lapangan terbang Charles de Gaulle pada jam 6.45 pagi waktu tempatan dan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan isteri, Datin Che Norhayati Soib serta kakitangan kedutaan Malaysia sebaik tiba di hotel penginapannya di sini.

Ini merupakan lawatan pertama Dr Wan Azizah ke negara ini selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri 12 Mei tahun lalu dan agenda utama di sini adalah untuk mempengerusikan dua mesyuarat berkaitan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Mesyuarat itu adalah mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) yang diadakan pada esok dan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan (IGC) bagi MOST yang akan berlangsung pada Selasa dan Rabu.

Kedua-dua mesyuarat itu dihadiri atas kapasitinya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan sebagai presiden Biro IGC bagi penggal 2017 hingga 2019.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah akan memulakan jadual padatnya hari ini dengan menghadiri taklimat bersama sekretariat MOST mengenai agenda mesyuarat itu sebelum menghoskan majlis makan malam bersama komuniti dan pelajar Malaysia yang berada di negara ini.

Pada hari kedua, ketiga dan terakhir lawatannya, Dr Wan Azizah akan menghadiri beberapa program di luar kedua-dua mesyuarat itu antaranya Festival Buah-buahan Tropika Malaysia diadakan bertujuan mempromosi buah-buahan Malaysia kepada delegasi dan perwakilan negara anggota UNESCO.

Beliau juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay selain pertemuan dengan ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis.

Dr Wan Azizah juga akan berkunjung ke Masjid Besar Paris sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara mengenai Orang Kurang Upaya Perancis Sophie Cluzel.

Beliau akan berlepas pulang ke ibu negara pada petang Rabu. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia