Bekalan minyak masak peket di Pulau Pinang pulih

Bekalan minyak masak peket bersubsidi di Pulau Pinang kembali pulih selepas KPDNHEP mengadakan operasi berterusan.
Bekalan minyak masak peket bersubsidi di Pulau Pinang kembali pulih selepas KPDNHEP mengadakan operasi berterusan.
A
A
A

GEORGETOWN - Bekalan minyak masak peket bersubsidi di Pulau Pinang kembali pulih dan mencukupi berikutan tindakan tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri itu menjalankan operasi berterusan bagi membanteras penyelewengan minyak tersebut.

Pengarah KPNDHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan berterusan dengan 4,011 premis perniagaan diperiksa sepanjang bulan ini bagi memastikan tiada lagi masalah bekalan minyak masak peket bersubsidi di negeri ini dan pengguna mendapat bahan tersebut dengan mudah.

"Ketika ini pengeluaran minyak masak peket bersubsidi di Pulau Pinang ialah sebanyak 3.3 juta kilogram (kg) sebulan dan jumlah tersebut juga sekali ganda daripada jumlah penduduk Pulau Pinang kira-kira lebih 1 juta orang.

"Setakat ini bekalan minyak untuk kegunaan rakyat negeri ini mencukupi malah aduan yang diterima mengenai kekurangan bekalan minyak masak peket di negeri ini juga telah berkurangan, boleh dikatakan hampir tiada (aduan) berbanding sebelum ini iaitu kira-kira setiap hari," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Pasar Awam Tanjung Bungah di sini pada Ahad.

Tinjauan itu dijalankan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain sempena pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula semalam hingga 4 Februari nanti.

Sebelum ini, bekalan minyak masak peket bersubsidi dilaporkan sukar diperoleh di beberapa negeri sehingga menyukarkan pengguna dan peniaga-peniaga kecil mendapatkan bekalan masing-masing.

Bagaimanapun, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memaklumkan memiliki bekalan stok minyak peket bersubsidi hampir 1.58 juta tan sehingga Disember tahun lepas dan jumlah tersebut mampu memenuhi permintaan pengguna sekali gus menolak dakwaan ada elemen penyelewengan atau campur tangan kartel dalam industri tersebut.

Mohd Ridzuan berkata, pihaknya bukan sahaja membuat pemeriksaan di peringkat runcit bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi malah membabitkan 24 syarikat pembungkus minyak masak peket bersubsidi dan 800 pemborong bagi memastikan tiada penyelewengan di semua peringkat.

Sementara itu, beliau berkata, berlaku sedikit gangguan bekalan telur ayam di pasaran Pulau Pinang berikutan kekurangan pengeluaran di peringkat penternak dan bukannya tiada bekalan langsung seperti dilaporkan sebuah akhbar dua hari lepas.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, masalah gangguan bekalan telur ayam itu akan pulih dalam masa terdekat dengan pihak penternak telah mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasinya.

"Untuk bekalan telur ia berlaku di seluruh negara namun sebenarnya di Pulau Pinang ia hanya gangguan bekalan sedikit sahaja, sebenarnya gangguan (bekalan) itu berikutan kekurangan pengeluaran di peringkat penternak dan ia ditambah dengan permintaan mendadak sambutan Tahun Baharu Cina serta musim kenduri ketika cuti sekolah.

"Kami jangkakan masalah gangguan bekalan telur ayam itu akan pulih dalam masa terdekat...bekalan (telur ayam) itu ada dan mencukupi cuma pembeli tidak boleh beli dalam kuantiti yang banyak ketika ini," katanya.- Bernama