14 pemandu mabuk ditahan sekitar ibu kota

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melaksanakan operasi di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga awal pagi Ahad.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melaksanakan operasi di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga awal pagi Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 14 individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi dijalankan di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua individu berusia 30 hingga 55 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesemua tangkapan itu dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut seksyen yang sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, seramai sembilan pegawai dan 62 anggota JSPT Kuala Lumpur menjalankan operasi di Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Like Yew dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

"Kita turut menahan lapan lelaki berusia 13 hingga 20 tahun kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi zigzag, roket, Superman serta bersaing.

"Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 388 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 15 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

Artikel Berkaitan:

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Sarifudin berkata, hasil kolaborasi pihaknya dengan Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 11 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal.

"Penunggang motosikal itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Sarifudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.