Duduk semeja, elak tanggapan negatif

Prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura terus hangat diperkatakan sehingga kini. (Gambar kecil: Mohd Sadek)
Prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura terus hangat diperkatakan sehingga kini. (Gambar kecil: Mohd Sadek)
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa memberikan jawapan konkrit atas pendedahan yang dibuat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, FAM harus menjawab setiap pendedahan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu bagi mengelak sebarang spekulasi negatif.

Malah, beliau menegaskan, FAM wajar menyampaikan maklumat sebenar dengan lebih telus kepada pihak media mahupun penyokong skuad Harimau Malaya.

“Kegagalan skuad kebangsaan pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura nyata menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan peminat dan pengkritik bola sepak negara.

“Ditambah pula dengan pendedahan TMJ yang membongkar beberapa lagi isu. FAM perlu bersikap jujur dan telus bagi menjelaskan setiap perkara yang dibangkitkan TMJ.

“Segala persoalan itu harus dijawab dengan alasan yang munasabah bagi mengelak FAM terus menjadi mangsa kecaman penyokong,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Sejak kegagalan skuad kebangsaan yang tersingkir seawal peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu, FAM tidak dapat lari daripada kritikan ramai khususnya penyokong Harimau Malaya.

Bagi merungkai kegagalan itu, FAM bertindak menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang diketuai bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.

Artikel Berkaitan:

Dalam sidang media yang berlangsung pada 21 Januari lalu, Dell Akbar mendedahkan 10 dapatan hasil bedah siasat yang dilakukan badan siasatan bebas itu.

Pada Khamis lalu, Tunku Ismail pula mendedahkan beberapa isu berbangkit membabitkan urus tadbir FAM dan masalah skuad Harimau Malaya.

Pendedahan daripada Tunku Ismail dan badan siasatan bebas itu memperlihatkan lagi kepincangan dalam pengurusan FAM dan Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Mohd Sadek berkata, percanggahan fakta melibatkan pihak berkenaan menimbulkan banyak keraguan sehingga mengundang pelbagai perspektif.

“Sekarang ini kita tidak tahu apa kebenarannya. Terlalu banyak persoalan yang masih bermain dalam fikiran peminat dan penyokong bola sepak Malaysia.

“Sudah tentu ini merumitkan keadaan. Sebaiknya pihak-pihak yang berkenaan duduk bersemuka bagi mencari solusi terbaik buat pasukan kebangsaan.

“Sekalipun Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) memberi respons terhadap apa yang diperkatakan TMJ tetapi ia masih belum memadai,” ujarnya.