'Tak kira siapa tarik sokongan, kerajaan akan tumbang'

Ismail Sabri ketika menyerahkan bantuan barangan keperluan kepada mangsa banjir daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada Sabtu.
Ismail Sabri ketika menyerahkan bantuan barangan keperluan kepada mangsa banjir daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada Sabtu.
A
A
A

BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui kerajaan akan tumbang jika mana-mana parti khususnya yang berpihak kepada kerajaan sedia ada mengambil keputusan menarik sokongan mereka.

Beliau berkata, kerajaan sudah tentu tidak akan stabil, bukan sahaja jika Perikatan Nasional bertindak sedemikian, malah ia turut terjejas jika dalam kalangan UMNO sendiri mengambil tindakan sama.

"Kita tunggu apa yang sebenarnya...memang betul kalau mereka menarik sokongan, kerajaan tumbang itu faktanya secara jelas.

"Sesiapa tarik sokongan akan tumbang. Tak kira siapa...Gabungan Parti Sarawak (GPS) tarik atau dalam kalangan UMNO sendiri.

"Ini kerana kerajaan memiliki kelebihan empat kerusi, lebih lima enam kerusi tarik sokongan, kerajaan akan tumbang," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Monsun Timur Laut Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini pada Sabtu.

Dalam laporan Sinar Harian pada Sabtu, Pas dan Bersatu mengingatkan bahawa sokongan kedua-dua parti itu kepada kerajaan persekutuan adalah bersyarat.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh itu ia perlu dihormati dan dirundingi atas nilai integriti, antirasuah dan berkebajikan.

Kedua-dua parti itu mempertegaskan pendirian mereka ekoran rasa kurang senang terhadap tindakan UMNO-Barisan Nasional (BN) bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan bahawa politik kembali bergolak sekiranya perkara sedemikian timbul, yang akan turut memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perbincangan akan dilakukan melibatkan antara parti-parti terlibat.

"Tapi perkara ini masih terlalu awal dan yang paling penting keselamatan, kesejahteraan, keharmonian rakyat perlu diberikan keutamaan," jelasnya.