Peniaga rayu MBKT kurangkan kadar sewa premis perniagaan

Seramai 14 peniaga di Medan Selera Pantai Batu Buruk 3, di Kuala Terengganu merayu supaya kadarbayaran sewa premis dikenakan MBKT dikurangkan.
Seramai 14 peniaga di Medan Selera Pantai Batu Buruk 3, di Kuala Terengganu merayu supaya kadarbayaran sewa premis dikenakan MBKT dikurangkan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga di Medan Selera Pantai Batu Buruk 3, di sini merayu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menurunkan kadar sewa premis daripada RM500 sebulan kepada RM200.

Wakil peniaga, Raja Nazri Raja Sapie, 40 berkata, ia berikutan beberapa masalah yang dialami berhubung kemudahan yang disediakan disamping kemerosotan pelanggan sejak penularan pandemik Covid-19.

Katanya, peningkatan harga barang yang dialami kini turut memberi tekanan kepada mereka.

"Macamana kami nak bayar sewa RM500 sebulan sedangkan berniaga di sini pun tidak balik modal. Ramai yang rugi sehingga terpaksa bergolok bergadai untuk bayar hutang.

"Keadaan bertambah parah sejak pandemik melanda kerana pelanggan di sini berkurangan 80 peratus," katanya ketika ditemui pemberita di premis berkenaan, pada Sabtu.

Raja Nazri yang juga Naib Pengerusi Persatuan Peniaga Medan Selera Pantai Batu Buruk 3 berkata, keadaan mereka bertambah sukar selepas menerima notis penamatan sewa disebabkan tunggakan bayaran sehingga Januari 2022.

Katanya, notis yang diterima pada 12 Januari lalu meminta mereka menjelaskan bayaran dalam tempoh 14 hari bagi melunaskan semua tunggakan bagi mengelak premis itu dikunci selain tindakan menamatkan sewaan sekiranya bayaran diterima kurang daripada jumlah yang dituntut.

"Ada peniaga tertunggak bayaran sewa selama setahun kerana tak mampu bayar. Paling sedikit yang perlu bayar tunggakan sewa ialah RM1,500 dan paling banyak RM7,000.

Artikel Berkaitan:

"Pendek kata kami peniaga di sini tak mampu nak bayar dan kami merayu supaya kadar bayaran sewa yang kami perlu bayar dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Rozlinda Yusof, 46 berkata, surat permohonan bagi mengurangkan bayaran sewa sudah tiga kali dihantar kepada MBKT namun sehingga kini tiada sebarang jawapan.

"Mula-mula kami pindah disini pada 2017 kadar sewa ditawarkan ialah RM1,000 namun kami merayu supaya dikurangkan kepada RM500 dan pihak MBKT setuju mengurangkan kadar sewa itu.

"Bagaimanapun setelah beroperasi di sini, banyak masalah yang dialami terutama membabitkan kemudahan disini. Sehingga kini tiada papan tanda memudahkan orang luar berkunjung.

"Selain itu, disini juga tiada kemudahan tandas, surau serta ada kipas yang sudah rosak sejak tiga tahun lalu tidak dibaiki sehingga kini," katanya.

Munira Mohd Daud menunjukkan notis penamatan sewa diterima peniaga disebabkan tunggakan bayaran sehingga Januari 2022.
Munira Mohd Daud menunjukkan notis penamatan sewa diterima peniaga disebabkan tunggakan bayaran sehingga Januari 2022.

Sementara itu, Munira Mohd Daud, 45, berlata, sehingga kini hanya 14 daripada keseluruhan 18 peniaga kekal beroperasi dan masih bertahan.

"Sebelum ini kami berniaga di kawasan lorong bersebelahan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Selepas lokasi itu dirobohkan kami ditawarkan ruang niaga disini," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBKT, Ahmad Suhaimi Embong berkata, MBKT sentiasa prihatin dalam membantu peniaga-peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Kita telah memberi pengecualiaan sewaan baru-baru ini selama dua bulan iaitu bagi bulan Jun dan Julai 2021. Berkenaan tunggakkan lama, mereka diberi kelonggaran untuk menyelesaikan secara berperingkat agar tidak terbeban," katanya.