Axiata, XL Axiata ambil alih saham Link Net bernilai RM2.55 bilion

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Axiata Group Bhd dan PT XL Axiata Tbk akan mengambil alih 66.03 peratus kepentingan ekuiti bernilai RM2.55 bilion dalam PT Link Net Tbk (Link Net).

Kedua-dua syarikat itu turut melaksanakan tawaran tender mandatori bagi baki 33.97 peratus saham dalam Link Net dengan jumlah pembelian RM3.86 bilion bagi 100 peratus pegangan.

Syarikat-syarikat terbabit memeterai perjanjian pembelian pembelian saham bersyarat (SPA) bagi tujuan berkenaan pada Khamis dan bersetuju membeli ekuiti Link Net pada 4,800 rupiah sesaham biasa Link Net itu daripada Asia Link Dewa Pte Ltd (ALD) dan PT First Media Tbk (FM).

Ini diterjemahkan kepada nilai kira-kira RM3.86 bilion (13.21 trilion rupiah) bagi keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Link Net, kata kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.

Di bawah terma SPA, Axiata Investments (Indonesia) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Axiata dan XL Axiata masing-masing akan membeli 46.03 peratus dan 20 peratus daripada gabungan kepentingan ekuiti 66.03 peratus dalam Link Net yang dipegang ALD dan FM dengan harga RM2.55 bilion (8.72 trilion rupiah).

Axiata Investments Indonesia kemudiannya perlu melaksanakan tawaran tender mandatori untuk membeli baki 33.97 peratus saham Link Net mengikut keperluan kawal selia di Indonesia.

Cadangan pengambilalihan dan cadangan tawaran tender mandatori berkenaan dijangka selesai pada suku ketiga 2022.

Kenyataan itu berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka mewujudkan sinergi ketara bagi Link Net dan XL Axiata menerusi gabungan kedudukan mereka dalam perkhidmatan komunikasi tanpa wayar, berkongsi rangkaian tetulang serta penghantaran dan liputan pelanggan yang meluas di Indonesia.

Artikel Berkaitan:

"Ditambah dengan tawaran perusahaan daripada XL Axiata termasuk sambungan mudah alih, Link Net berpeluang untuk memanfaatkan pasaran perusahaan yang sedang berkembang pesat.

"Selain itu, Axiata akan mendapat manfaat daripada profil aliran tunai kukuh Link Net dan pembayaran dividen konsisten, serta mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada pemain digital utama di rantau ini dengan peningkatan pendedahan kepada purata hasil bagi setiap pengguna yang tinggi dan pasaran jalur lebar tetap yang berpotensi besar serta sedang pesat berkembang," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Group Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, selain menggandakan segmen pertumbuhan tinggi di satu daripada pasaran utamanya, pelaburan mereka dalam Link Net adalah selaras dengan aspirasi Axiata untuk menyokong inkulsi digital ketika perniagaan di Asia sedang mempercepatkan pendigitalan.

Presiden Direktur dan Ketua Pegawai Eksekutif XL Axiata, Dian Siswarini pula menjelaskan, syarikat tersebut sedang bersiap sedia untuk merealisasikan visinya menjadi pengendali telekomunikasi utama di Indonesia.

“Sinergi yang akan dimanfaatkan menerusi kerjasama dengan Link Net menjadikan ia cadangan yang menarik memandangkan peluang untuk menggabungkan kekuatan dalam kesalinghubungan mudah alih, jalur lebar tetap dan kandungan,” ujarnya.