X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Rokok seludup bernilai RM85,218 dirampas

Lelaki berusia 33 tahun (kanan) yang ditahan bersama 393 karton rokok seludup direman untuk siasatan lanjut. Foto: Polis Marin
A
A

ALOR SETAR - Polis Marin merampas 393 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM85,218 selepas menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan di Jalan Datuk Kumbar dekat sini pada petang Jumaat.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Polis Shamsol Kassim berkata, rampasan tersebut dikesan ketika Op Khas sempena Tahun Baharu Cina bersama Unit Risik Marin Kuala Kedah dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Menurutnya, dalam operasi jam 3 petang berkenaan, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 33 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Camry memuatkan sejumlah kotak berisi rokok disyaki tidak bercukai.

“Sebanyak tujuh peti dan 43 karton rokok seludup dirampas dalam operasi tersebut. Dalam setiap peti tersebut mengandungi 50 karton rokok yang dimasukkan ke dalam kotak.

“Kesemua kotak terbabit diletakkan pada bahagian penumpang belakang dan tempat duduk penumpang hadapan serta sebahagian dalam bonet kereta,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Sabtu.

Shamsol berkata, pihaknya menahan pemandu terbabit dan merampas kenderaan itu bagi membantu siasatan.

“Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan sekitar RM125,318.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya rokok tersebut adalah untuk pasaran di sekitar daerah Kota Setar,” katanya.

Tambahnya, lelaki itu dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk permohonan reman.

Shamsol berkata, siasatan lanjut dibuat mengikut peruntukan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!