[VIDEO] 28 tahun derita penyakit kaki gajah

Rosmiza terpaksa bergantung kepada troli yang ditempah khas untuk bergerak kerana ketumbuhan pada kaki kanannya mencecah 100kg.
Rosmiza terpaksa bergantung kepada troli yang ditempah khas untuk bergerak kerana ketumbuhan pada kaki kanannya mencecah 100kg.
A
A
A

PASIR MAS - Bengkak mengejut pada kaki kanan mengubah hidup seorang wanita dari Kampung Kubang Bunut, Kasar yang kini menderita penyakit kaki gajah sejak 28 tahun lalu.

Rosmiza Awang Mat, 40, yang berkongsi penderitaannya itu memberitahu, kakinya mula membengkak padai usia 12 tahun dan mencecah 100 kilogram (kg).

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu kini banyak menghabiskan masa di atas tilam selain terpaksa bergantung kepada troli yang ditempah khas bagi memudahkan dia bergerak.

"Saya pernah menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) ketika berusia 5 tahun tetapi hanya boleh berjalan menggunakan tongkat selama tiga bulan sahaja.

"Selepas itu, kaki kanan saya terus membesar hingga ke hari ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Bagaimanapun, wanita itu bersyukur kerana penderitaan yang dialami itu terubat apabila semua ahli keluarga memberikan kata-kata semangat untuk melawan penyakit berkenaan.

Bengkak pada kaki kanan secara mengejut ketika berusia 12 tahun mengubah hidup Rosmiza yang kini menderita penyakit kaki gajah.
Bengkak pada kaki kanan secara mengejut ketika berusia 12 tahun mengubah hidup Rosmiza yang kini menderita penyakit kaki gajah.

Rosmiza yang kini tinggal bersama kakak sulungnya Rubiah, 57, dan abang ipar, Rosdi Ibrahim, 58, mengakui bertuah kerana pasangan itu juga tempat dia menumpang kasih selain berharap pembedahan membolehkan dia berjalan semula walaupun menggunakan tongkat.

Artikel Berkaitan:

"Saya mempunyai impian menunaikan umrah jika keadaan kesihatan kembali pulih," katanya

Justeru, wanita itu memerlukan sumbangan berjumlah RM50,000 untuk membuang ketumbuhan buat kali kedua di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dalam masa terdekat.

Katanya, walaupun ada menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun masih belum mencukupi untuk membiayai pembedahan kerana ada perbelanjaan lain yang perlu diuruskan.

"Sejak penderitaan saya tular di laman sosial, sebanyak RM30,000 sumbangan daripada orang ramai diterima untuk menampung kos pembedahan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB Rosmiza Awang Mat di 03020009052208.