Pemain Senegal perlu berikan aksi terbaik

Aliou Cisse - Foto goal.com
Aliou Cisse - Foto goal.com
A
A
A

BIARPUN dilabel antara pasukan pilihan pada Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2022, namun pengendali Senegal, Aliou Cisse tetap mengingatkan skuad kendaliannya itu untuk sentiasa memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan yang diharungi.

Menurut Cisse, biarpun mencatatkan beberapa keputusan memberangsangkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, namun kesebelasan skuad kendaliannya itu diharap terus fokus bagi mengharungi perlawanan-perlawanan akan datang.

Menurut Cisse, semakin jauh Senegal mara pada AFCON 2022, cabaran serta rintangan lebih besar bakal menanti skuad Lions of Teranga itu.

“Kini kami sudah pun berada di suku akhir dan cabaran yang lebih besar menanti pasukan kami yang dilabel selaku antara pasukan pilihan.

“Oleh itu, kami perlu bersiap sedia dari sekarang untuk berdepan dengan perlawanan-perlawanan yang getir nanti kerana sudah pasti banyak pasukan yang mahu menewaskan kami,” katanya.

Untuk rekod Senegal mara ke suku akhir setelah menewaskan Cape Verde 2-0 pada aksi kalah mati Isnin lalu.

Aksi suku akhir Ahad nanti menyaksikan Senegal berdepan Equatorial Guinea yang setakat ini merekodkan beberapa keputusan cemerlang termasuk menewaskan juara bertahan Algeria, pada saingan peringakat kumpulan sebelum ini.

Sementara itu Cisse mahu jentera serangan Senegal yang diketuai Sadio Mane lebih ‘tajam’ di depan pintu gol lawan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan kepada statistik, jentera serangan pasukan berkenaan dilihat gagal menghasilkan banyak jaringan pada saingan peringkat kumpulan melainkan dua gol yang dijaringkan pada aksi kalah mati menewaskan Cape Verde.

“Masalah ini (gol) perlu diatasi segera kerana ia mungkin memberikan masalah kepada kami; namun saya yakin di peringkat ini (suku akhir), pemain tahu tanggungjawab mereka,” katanya.