X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Nadal label Medvedev lawan sukar

Nadal - foto EPA
A
A

JUARA empat kali Terbuka Amerika Syarikat, Rafael Nadal menyifatkan Daniil Medvedev sebagai lawan yang sukar untuk ditewaskan pada aksi final Terbuka Australia pada Ahad ini.

Menurut bintang tenis Sepanyol berusia 35 tahun itu, kali terakhir mereka bertemu adalah pada final Terbuka Amerika Syarikat 2019 lalu dan dia memerlukan lima set bagi menewaskan Medvedev yang berusia 23 tahun ketika itu.

“Saya akan berdepan Medvedev sekali lagi pada aksi final setelah kali terakhir bertemu dengannya pada final Terbuka Amerika Syarikat 2019 lalu.

“Biarpun saya menang pada pertemuan 2019 lalu, namun kali ini pertemuanya pasti berbeza dan Medvedev akan beraksi sehabis baik untuk menang.

“Apa pun, saya akan tetap berikan aksi terbaik dan cuba memenangi final kali ini yang juga bakal mencipta rekod memenangi gelaran Grand Slam ke-21,” katanya.

Untuk rekod, Nadal yang juga pemain nombor lima dunia ketika ini telah memenangi kejohanan berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 2010, 2013, 2017 dan 2019.

Kini, Nadal memburu gelaran Grand Slam ke-21 dan sekali gus memecahkan rekod 20 gelaran yang sebelum ini dimiliki bersama Novak Djokovic dan Roger Federer.

Mengulas lanjut Nadal berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk meraih gelaran Grand Slam berkenaan kali ini.

Justeru katanya, aksi final Terbuka Australia kali ini menjadi kesempatan terbaik buatnya untuk melakar sejarah dan menjadi pemain pertama yang mencatatkan rekod 21 gelaran Grand Slam.

“Kejayaan meraih gelaran Grand Slam kali ini pasti agak beremosi buat saya, tetapi saya harus berdepan dengan cabaran daripada pemain yang hebat dan jauh lebih muda daripada saya.

“Oleh itu, saya akan cuba memberikan aksi terbaik saya dan sekiranya saya gagal, maka kemenangan sudah pasti menjadi milik Medvedev,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!