50 peratus populasi dewasa telah terima dos penggalak
Sebanyak 50 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat Jumaat malam. - Gambar hiasan
A
A
A
Sementara itu, sebanyak 22,923,144 individu atau 97.9 peratus populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dos vaksin Covid-19 mereka, manakala 23,200,399 individu atau 99.1 peratus daripada golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,787,267 individu atau 88.6 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,867,165 individu atau 91.1 peratus lagi sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Statistik harian itu juga menunjukkan sejumlah 178,567 dos vaksin diberikan pada Jumaat meliputi 1,635 dos pertama, 2,573 dos kedua dan 174,359 lagi dos penggalak.
Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 63,284,490 dos termasuk 11,710,970 dos penggalak.
Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak 12 kes kematian direkodkan pada Jumaat dengan satu daripadanya merupakan kematian di luar hospital (BID).
Johor dan Perak mencatatkan angka kematian tertinggi dengan masing-masing tiga kes, diikuti Pahang dan Sabah merekodkan masing-masing dua kes, manakala Melaka dan Selangor masing-masing satu kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!