X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

TNB serah kunci rumah, penuhi impian asnaf

A
A

Baharin (kanan) menyerahkan sumbangan Tabung Warga TNB Prihatin kepada Norismah di Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB di Kg Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah.
Baharin (kanan) menyerahkan sumbangan Tabung Warga TNB Prihatin kepada Norismah di Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB di Kg Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah.

Semakin makmur sesebuah organisasi, semakin terbela komuniti yang didampingi. Itulah yang dipratikkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam usahanya menyantuni rakyat.

Saban tahun, TNB menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) meningkatkan sumbangan dalam pelbagai bentuk untuk dikembalikan kepada golongan yang memerlukan.

Bermula dengan ratusan ribu ringgit membaiki sekitar 20 unit rumah miskin tegar setahun sejak tahun 2007, pembiayaan ditingkatkan sehingga purata RM5 juta setahun melalui Projek Baiti Jannati (PBJ) TNB mulai 2013.

Program PBJ TNB menepati keperluan kumpulan sasaran daripada kelompok terendah dengan membaiki, membina baharu atau membiayai pembelian rumah orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin berstatus asnaf.

Norismah (dua, kanan) bersama anak-anaknya kelihatan gembira di hadapan rumah baharu mereka selepas menerima kunci rumah sumbangan dari Projek Baiti Jannati TNB pada 14 Januari lalu.
Norismah (dua, kanan) bersama anak-anaknya kelihatan gembira di hadapan rumah baharu mereka selepas menerima kunci rumah sumbangan dari Projek Baiti Jannati TNB pada 14 Januari lalu.

Sehingga tahun lalu, lebih RM45.72 juta pulangan perniagaan TNB dibelanjakan untuk menyediakan 1,009 unit rumah bagi memastikan setiap ketua isi Projek Baiti Jannati TNB rumah miskin tegar terpilih dapat menyediakan rumah untuk keluarga tersayang sekali gus mampu mencapai impian memiliki kediaman sendiri.

Meskipun menghadapi cabaran pandemik Covid-19, ia tidak menghalang TNB meneruskan inisiatif PBJ di seluruh semenanjung dalam usaha membantu kerajaan menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada golongan yang memerlukan.

Pemberian rumah yang pada ketika mereka sedang bergelut membayar hutang atau sewa rumah, telah melenyapkan segala kebimbangan untuk menyediakan kediaman bagi menyempurnakan sebuah kehidupan.

ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Retail Negeri (Melaka), Bahagian Retail TNB, Khairizam Ibrahim meninjau keadaan rumah baharu Abu Shah (tiga, kanan) dan Norshafi naz (dua, kanan).
ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Retail Negeri (Melaka), Bahagian Retail TNB, Khairizam Ibrahim meninjau keadaan rumah baharu Abu Shah (tiga, kanan) dan Norshafi naz (dua, kanan).

Tukang kebun, Abu Shah Embok, 59, di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka, menyifatkan TNB sebagai organisasi yang berjaya menjadikan impian ramai orang termasuk dirinya untuk memiliki rumah sendiri satu kenyataan.

“Sebelum ini kami hanya impikan untuk memiliki sebuah rumah namun kini impian itu nyata di depan mata,” katanya yang beberapa kali berpindah randah dari sebuah rumah sewa ke rumah sewa yang lain.

Bagi seorang balu, Norismah Ismail, 49, yang hanya bergantung kepada pencen ilat Perkeso arwah suaminya, pemberian rumah oleh TNB di Kampung Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah, Perak baru-baru ini, sesuatu yang paling bermakna untuknya empat beranak.

Allahyarham Norazam Abdul Rahman meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada 12 Oktober tahun lalu, ketika rumah mereka masih dalam pembinaan dengan menggunakan peruntukan pulangan zakat perniagaan syarikat utiliti itu.

“Masa arwah ada, dia tahu (dapat rumah), tapi tak sempat merasa. Dia memang berbesar hati, seronok sangat,” ujar Norismah mengenangkan allahyarham suaminya yang enam tahun menderita di rumah lama mereka yang hampir roboh.

TNB turut menyediakan kediaman penduduk bukan Islam menerusi program sama yang dikenali sebagai PMR iaitu Projek Mesra Rakyat.

Sejak diperkenalkan pada 2012, sebanyak 220 keluarga telah menikmati manfaat PMR dengan pembiayaan lebih RM7.46 juta.

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berharap agar para penerima rumah PBJ dan keluarga masing-masing tabah menghadapi ujian dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

Katanya, TNB sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat setempat, terutama susulan pandemik Covid-19 yang banyak memberi kesan kepada rakyat.

"Bersama-samalah kita doakan agar kemudahan ini dapat diteruskan dengan TNB terus berjaya mempelopori perniagaan elektrik. Kalau TNB maju, sudah tentu (kita) pastikan pulangan diberi, dikongsi bersama rakyat jelata, kerana TNB adalah satu organisasi yang dekat dengan rakyat,” katanya.

PROJEK BAITI JANNATI TNB


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!