FAM ambil serius teguran, cadangan Tunku Ismail

Hamidin
Hamidin
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius pandangan bekas presidennya Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berhubung kegagalan skuad kebangsaan pada Kejuaraan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2020 di Singapura, Disember lepas.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau secara peribadi menghormati teguran dan cadangan yang diberikan Tunku Ismail.

Beliau berkata, FAM juga akan meneliti segala permasalahan yang dibangkitkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, demi kebaikan arena bola sepak negara.

"Saya menjunjung kasih kepada TMJ dan akan meneliti cadangan yang telah dikemukakan baginda, selaku bekas Presiden FAM berhubung kegagalan skuad kebangsaan.

"Kami mengambil dari sudut positif segala teguran dan cadangan tersebut akan kami perhalusi sebaiknya demi kebaikan semua pihak terutama dalam pengurusan bola sepak negara,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Pada Khamis, Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menggariskan beberapa kelemahan FAM, yang dilihat mempengaruhi kegagalan skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF 2020 selepas terkandas seawal peringkat kumpulan.

Antara yang diberi perhatian Tunku Ismail adalah kegagalan FAM memberikan gambaran serta penjelasan yang lebih jelas, mengenai situasi skuad kebangsaan kepada media, selain kegagalan membuat perancangan awal dan sasaran ke final yang diletakkan ke atas pasukan negara.

Tunku Ismail berkata demikian dalam temu bual eksklusif secara langsung bersama sebuah saluran televisyen swasta, bagi mengupas isu di sebalik kemerosotan prestasi skuad kebangsaan dan kegagalan pada kempen Piala AFF 2020.

Artikel Berkaitan:

Pada kejuaraan itu, Malaysia yang turun selaku naib juara edisi 2018 gagal melangkah ke peringkat kalah mati, selepas menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga, di belakang Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

Berikutan kegagalan itu, Tan Cheng Hoe mengambil keputusan meletakkan jawatan ketua jurulatih yang disandang sejak 2017, sebelum Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi turut mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan pengurus pasukan skuad kebangsaan. - Bernama