[VIDEO] ‘Saya bukan ingin fitnah, aib mana-mana pihak’

Roslin
Roslin
A
A
A

BEKAS pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim menyifatkan pendedahan yang dibuatnya terhadap pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung isu pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia bukan ingin memfitnah atau mengaibkan mana-mana pihak.

Menurutnya, pendedahan dibuatnya itu kerana rata-rata ingin mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada Zii Jia sehingga pemain berkenaan mengambil keputusan meninggalkan BAM.

“Saya cuma ingin berkongsi apa yang sebenarnya berlaku kepada Zii Jia dan bukan niat saya untuk mengaibkan atau memfitnah sesiapa,” katanya dalam Program Sinar Live bertajuk ‘Jangan Sampai Player Merajuk’ yang dihoskan Hazwan Mokhtar di semua platform Sinar Harian, pada Jumaat.

Roslin menerusi media sosialnya baru-baru ini mengkritik BAM berhubung isu Zii Jia dan turut menamakan dua individu di dalam badan induk terbabit yang didakwanya boleh merosakkan badminton Malaysia.

Mengulas lanjut, Roslin berkata, beliau juga sebenarnya tidak mengetahui sebab Zii Jia menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 11 Januari lalu.

“Saya tidak tahu apa yang sebenarnya yang berlaku kepada Zii Jia hingga membuat keputusan begitu drastik. Seperti yang kita tahu beliau seorang pemain utama negara sampai sanggup membuat keputusan sebegitu.

“Sudah semestinya bukan jangka masa yang singkat untuk beliau membuat keputusan. Semestinya perkara ini sudah berpanjangan, mungkin dia sudah simpan lama,” ujarnya.

Tambah Roslin, pendedahan yang dibuat menerusi media sosialnya itu adalah untuk berkongsi mengenai apa yang terjadi kepadanya yang keluar dari badan induk itu pada tahun 1996.

Artikel Berkaitan:

“Saya sebenarnya ingin berkongsi apa yang berlaku kepada saya ketika berada dalam BAM pada tahun 1996. Saya masuk BAM pada 1991, keluar pada 1996.

“Saya melihat perkara ini bukanlah satu perkara kecil dan perkara ini masih lagi berlarutan sehingga sekarang. Saya ingin berkongsi apa yang berlaku kepada saya supaya tidak ada lagi (apa yang terjadi padanya) berlaku kepada pemain-pemain,” katanya.

Ditanya sekiranya pihak yang beliau namakan itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, Roslin menyatakan, mereka boleh meneruskannya.

“Kalau mereka ingin mengambil tindakan, teruskan. Saya tidak ada masalah,” katanya.

Untuk video penuh sila layari Facebook dan Youtube Sinar Harian.