'Saya nampak perubahan, Daniel dilihat sudah insaf'

Rosli
Rosli
A
A
A

SUNGAI BULOH - Remaja yang mendapat perhatian masyarakat selepas dimandikan seperti jenazah, Daniel Iskandar Mohd Nasir,19, mula menunjukkan perubahan tingkah laku ke arah positif.

Datuknya, Rosli Sidek, 65, berkata, bagaimanapun dia tidak pasti sama ada cucunya itu benar-benar insaf.

"Saya nampak perubahan, dia dilihat cukup insaf, cuma dari segi dalamannya saya tidak pasti. Namun pergerakannya masih dikawal oleh pihak berkaitan.

"Dia istimewa kerana dapat pembelaan. Mungkin berkat daripada ALLAH," katanya ketika ditemui selepas perbincangan damai antara keluarga Daniel Iskandar dan ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Islahiah di Kuang, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rosli berkata, dia tetap bersabar dengan pelbagai dugaan yang menimpanya sejak tahun lalu termasuk kejadian melibatkan Daniel Iskandar.

"Saya terima ketentuan Ilahi dan mengakui mungkin ada hikmah di sebalik segala ujian saya hadapi malah sudah memaafkan Daniel.

"Dari tahun lepas saya menerima musibah. Pertamanya abang ipar meninggal dunia di rumah saya, seminggu kemudian saya kematian isteri dan selang dua minggu, Daniel pula didakwa terlibat kes curi tabung masjid. Hampir gila dibuatnya, namun saya perlu tabah dan percaya semua dugaan dihadapi ini, pasti ada hikmah.

"Sebelum ini Daniel ada beritahu, dia minta maaf di atas segala perilakunya. Saya sudah maafkan dia," ujar warga emas itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, keluarga Daniel Iskandar dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Islahiah, Kuang mencapai kata sepakat untuk tidak mengungkit kes remaja berkenaan.

Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, persetujuan tersebut dicapai menerusi rundingan damai di Masjid Islahiah, Kuang pada Jumaat yang turut dihadiri wakil keluarga Daniel Iskandar, AJK masjid dan peguam.