X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Bekas Senator hairan subjek agama jadi pertikaian

Di sekolah agama, mata pelajaran lebih banyak dan khusus seperti Tauhid, Fekah, al-Quran, Tajwid, Tarikh Islam, Jawi, Balaghah, Tafsir, Akhlak dan sebagainya. - Foto 123rf
A
A

SHAH ALAM – Bekas Ahli Dewan Negara, Asmak Husin melahirkan kehairanannya tentang mengapa kewujudan subjek agama menjadi pertikaian beberapa pihak.

Menurutnya, ini kerana subjek agama merupakan benteng kepada murid-murid untuk membina jati diri Islam dalam diri mereka.

“Malah sebelum era penjajahan, Pendidikan Islam sudah bermula di dalam istana pada zaman Sultan Melaka. Kegiatan agama dan Pendidikan Islam giat dijalankan di dalam istana.

“Pembukaan pondok-pondok dan madrasah berkembang pesat. Meskipun orang dulu-dulu tidak tinggi ilmu akademik tetapi pegangan ilmu agama mereka sangat kukuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan segelintir pihak memberikan pandangan tertentu terhadap subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan (SK) sehingga mencetuskan polemik dan tanggapan negatif terhadap subjek berkenaan.

Mengulas lanjut, Asmak yang merupakan seorang pendakwah bebas berkata, subjek Pendidikan Islam telah berjalan sejak zaman penjajah lebih 400 tahun hingga wujudnya Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1969.

“Dalam kedua-dua penyata tersebut, jelas Pendidikan Islam telah diletakkan di bawah Sistem Pendidikan Kebangsaan sebagai subjek teras dan bukan subjek sekunder.

“Dahulu sebelum Tanah Melayu dijajah, sekolah hanya mempunyai satu aliran. Oleh kerana penjajahan, sistem pendidikan sekular diperkenalkan lalu wujud sekolah aliran.

“Subjek agama di sekolah dihadkan kepada fardu ain dan al-Quran di Tanah Melayu kecuali di madrasah dan pondok,” jelasnya.

Beliau dalam masa yang sama turut mahu semua pihak membezakan antara sekolah agama dan sekolah kebangsaan.

“Di sekolah agama, mata pelajaran lebih banyak dan khusus seperti Tauhid, Fekah, al-Quran, Tajwid, Tarikh Islam, Jawi, Balaghah, Tafsir, Akhlak dan sebagainya.

“Adalah menjadi pilihan kepada ibu bapa sama ada untuk menghantar anak ke Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) atau agama. Meskipun begitu, ramai yang tidak berkemampuan untuk hantar anak ke KAFA pada waktu petang.

“Jadi, bagaimana falsafah pendidikan negara ingin dicapai?” soalnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!