Guna media sosial salur maklumat jenayah

Ramli mengedarkan ' goodies bag' kepada pengguna jalan raya sempena Majlis Pelancaran Ops Selamat 17 Tahun Baharu Cina Kontinjen Pahang di Plaza Tol Gambang di sini pada Jumaat.
Ramli mengedarkan ' goodies bag' kepada pengguna jalan raya sempena Majlis Pelancaran Ops Selamat 17 Tahun Baharu Cina Kontinjen Pahang di Plaza Tol Gambang di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Orang ramai boleh menggunakan laman sosial sebagai saluran untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang perlakuan jenayah atau pelanggaran undang-undang.

Selain menyalurkan maklumat itu terus kepada pihak polis, menularkan rakaman video atau gambar bukti kejadian melalui media sosial juga salah satu bentuk penyaluran maklumat yang berkesan dalam membantu pihak polis melakukan siasatan dan mengesan pihak terlibat.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bukti yang tular itu bagaimanapun mesti benar, tepat dan tidak ditokok tambah bagi tujuan fitnah atau mengaibkan mana-mana pihak.

Menurutnya, cara itu salah satu langkah pencegahan kerana polis tidak boleh ada di semua tempat pada satu-satu masa.

"Masyarakat perlu jadi mata dan telinga polis untuk mendedahkan kejadian jenayah atau sebarang bentuk perlanggaran undang-undang kepada pihak berwajib termasuk polis untuk diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Ops Selamat 17 Tahun Baru Cina Kontinjen Pahang di Plaza Tol Gambang di sini pada Jumaat.

Ramli berkata, sebarang perlakuan jenayah tidak ada tarikh tutup sebaliknya boleh disiasat dan diambil tindakan berdasarkan bukti yang ada termasuk yang tular melalui laman sosial.

"Malah ia juga boleh dijadikan bahan bukti dalam siasatan kes-kes yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Misalnya kes melibatkan nyawa seperti kes bunuh, langgar lari dan sebagainya walaupun lama berlaku, kes itu boleh disiasat dan dituduh melalui bukti yang dikongsi netizen," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam menularkan sebarang kejadian di laman sosial kerana polis tidak akan bertolak ansur sebarang berita tidak berasas atau palsu.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan sepenuhnya dalam semua keadaan terhadap setiap kejadian yang tular.

"Jadi jika ada yang hanya suka-suka rakam video atau ambil gambar sesuatu kesalahan yang tidak jelas dan memuat naik ke laman sosial ia tidak dibenarkan.

"Pastikan kesalahan yang dirakam itu bukan kita sahaja rasa ia betul malah majoriti yang lain juga berpandangan perkara itu melangkaui batas undang-undang," katanya.

Sebelum ini polis berjaya menyelesaikan banyak kes melibatkan pelbagai kesalahan berdasarkan video tular netizen termasuk aksi tunggangan berbahaya, pelanggaran peraturan lalu lintas, kecurian dan samun.

Sementara itu katanya, perlaksanaan Ops Selamat 17 Tahun Baharu Cina kali ini, Polis Pahang mengambil pendekatan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini dengan tumpuan kepada usaha mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

"Dalam menjayakan operasi ini, Polis Pahang berkolaborasi dengan pelbagai agensi melalui Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) terdiri dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan St John Ambulance.

"Kerjasama ini juga melibatkan pihak Amanah Nik Husin Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Grab Food Pahang," katanya.