Sistem solar PV diperluas di PBT, pejabat daerah Perak

Mohd Zolkafly (lima dari kiri) melawat Panel Solar PV yang dipasang di bumbung bangunan MDPT di Seri Iskandar pada Jumaat.
Mohd Zolkafly (lima dari kiri) melawat Panel Solar PV yang dipasang di bumbung bangunan MDPT di Seri Iskandar pada Jumaat.
A
A
A

PARIT - Penggunaan panel solar fotovoltaik (PV) akan diperluaskan di bangunan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah di Perak sebagai langkah penjimatan kadar penggunaan elektrik.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, cadangan penggunaan tenaga boleh diperbaharui itu dilihat selari dengan hasrat kerajaan negeri menerusi Cetakan Hijau Perak Lestari 2030.

Menurutnya, pemasangan panel solar PV di bangunan pentadbiran Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) itu mampu menjimatkan sehingga RM1.3 juta.

"Melihat perkara itu, saya akan bangkitkan cadangan ini dalam mesyuarat exco yang akan datang dan kita lihat apakah kaedah yang boleh diambil supaya dapat menyegerakan pelaksanaanya.

"Penggunaan sistem solar ini dapat membantu ke arah penjimatan dan pengurangan kos penggunaan elektrik. Kita mencadangkan supaya ia dapat diperluaskan kepada semua PBT dan pejabat daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pemasangan Panel Solar PV Di Bawah Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 di Bangunan MDPT di Seri Iskandar di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad (Majuperak), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak; Yang DiPertua MDPT, Mohd Syukri Azaari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Sebanyak 332 panel solar dipasang pada keluasan 1,500 meter persegi di bumbung bangunan MDPT dengan kos sebanyak RM550,000 yang ditanggung sepenuhnya Majuperak.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif berkenaan turut melibatkan kerjasama anak syarikat Majuperak iaitu Majuperak United Solar JV Sdn Bhd dan United Solar Energy Malaysia (USEM).

Sementara itu, Mohd Syukri berkata, purata penggunaan elektrik sebelum pelaksanaan sistem solar di bangunannya adalah sebanyak RM11,085.67 untuk tempoh Januari hingga Mei 2021.

"Perjanjian persefahaman telah ditandatangani antara MDPT dengan Majuperak pada Februari tahun lalu.

"Selepas pelaksanaan sistem solar ini, purata penggunaan dari Jun hingga Disember 2021 RM8188.73, iaitu purata penjimatan sebanyak hampir RM3,000 sebulan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak, Nizran Noordin berkata, pemasangan panel solar tersebut adalah yang kedua selepas bangunan Bazar Ipoh yang sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Silveritage di Medan Gopeng, Ipoh.

Katanya, pemasangan panel solar sama dijangka siap dalam masa terdekat membabitkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Daerah Selama, Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Majlis Daerah Tanjong Malim.