Pemilihan UMNO sebelum PRU15 bukan berdasar khabar angin: Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa sebagai Presiden UMNO, beliau tidak boleh membuat kesimpulan perlu mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya berdasarkan khabar angin terdapat 96 bahagian parti itu mengemukakan usul berkenaan.

Menurutnya, ini kerana perkara itu melibatkan kepentingan dan kehendak majoriti 3.3 juta ahli UMNO di seluruh negara.

“Dalam wawancara di NRChannel pada hari Jumaat, 21 Januari 2022, saya menjelaskan hanya enam daripada 190 bahagian UMNO di seluruh negara mengemukakan usul supaya diadakan pemilihan parti dahulu sebelum PRU15.

“Bukan niat untuk membidas pihak yang mendakwa konon 96 bahagian UMNO mahu pemilihan parti terlebih dahulu sebelum PRU15, namun itulah kebenarannya dan saya wajib menyatakan kebenaran apabila ditanya tentang hal tersebut.

“Seperti diperjelaskan saya tidak tahu bagaimana pihak yang membuat dakwaan itu mendapat angka 96, namun laporan yang saya terima daripada bahagian-bahagian UMNO adalah yang rasmi dan sahih,” kata Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO sebagai sebuah parti harus rasional untuk menjaga kepentingan akar umbi berbanding menjaga kepentingan kelompok kecil yang kepompong pemikirannya mungkin terlalu jumud untuk agenda tersendiri.

“Saya perlu menekankan ayat sebegitu supaya fakta meresap ke dalam fikiran dan sanubari mereka-mereka yang berkenaan sekali gus berhenti daripada mencetuskan polemik yang tidak memanfaatkan UMNO dan ahlinya.

“Nasihat saya jika tidak berupaya jadi garam, jangan pula menjadi langau. Janganlah kita menjadi duri dalam daging semasa UMNO sedang meniti sebuah kebangkitan mutlak,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: