X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Piala Asia: Malaysian Tigress catat kedudukan kelima

Barisan pemain hoki Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan mengadakan sesi latihan untuk kempen Piala Asia 2022 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Januari lalu. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Skuad Hoki Projek Khas Wanita meraih tempat kelima Piala Asia buat kali kelima berturut-turut, selepas menewaskan Thailand 3-0 pada aksi di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman malam Jumaat.

Pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam itu, Malaysia membuka jaringan pada minit kelima menerusi Nur Afiqah Syahzani Azhar, yang bijak menyambut bola hasil hantaran jauh Nuraini Abdul Rashid menewaskan penjaga gawang Siraya Yimkrajang dalam situasi satu lawan satu.

Skuad Malaysian Tigress terus mengukuhkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten pasukan Juliani Mohamad Din pada minit ke-22.

Raja Norsharina Raja Shabuddin melengkapkan jaringan menerusi satu lagi pukulan sudut penalti seminit selepas aksi suku keempat bermula untuk mencatatkan kemenangan 3-0.

Selepas menamatkan edisi 1999 dan 2004 di tempat keenam, skuad negara mengekalkan kedudukan di tempat kelima Piala Asia sejak edisi 2007, 2009, 2013, 2017 dan 2022, manakala pencapaian terbaik adalah kedudukan ketiga ketika edisi sulung pada 1985 di Korea Selatan.

Bagaimanapun, Malaysia terlepas tiket ke Piala Dunia 2022 kerana hanya empat pasukan teratas daripada lapan pasukan yang beraksi di Muscat, layak ke pentas dunia.

Malaysia membuka kempen kali ini dengan kekalahan besar berdepan juara bertahan India 0-9 dan Jepun 0-8, dan sekadar mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Singapura untuk menduduki tempat ketiga kumpulan, sekali gus gagal mara ke separuh akhir.

Skuad negara kemudian membelasah Indonesia 6-0 pada pusingan penentuan tempat kelima hingga kelapan.

Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Paul Revington bagaimanapun berkata beliau berpuas hati melihat prestasi dipamerkan oleh skuad negara yang dibarisi pemain sedang meningkat.

"Aspek paling menggembirakan daripada keputusan hari ini ialah ia meningkatkan keyakinan kami dan pemain muda yang telah menyumbangkan aksi sangat baik. Kemenangan 3-0 itu memberi keyakinan kepada saya kerana ia membuktikan hasil daripada persediaan sebelum kejohanan,” katanya menerusi video yang dikongsikan oleh KHM.

Sementara itu, ketua jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengakui anak buahnya yang majoritinya beraksi di peringkat antarabangsa buat kali pertama, berjaya menimba pengalaman dan pendedahan berharga.

"Pasukan muda kami agak berani untuk bertanding dalam Piala Asia ini dan saya sangat gembira kerana para pemain dapat menimba pengalaman sangat berharga selepas bertemu pasukan India, Jepun dan Thailand yang lebih berpengalaman," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!