PLUS jangka kenderaan meningkat 1.6 juta musim perayaan

PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan bermula Jumaat hingga 6 Februari depan. - Foto 123rf
PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan bermula Jumaat hingga 6 Februari depan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan, sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina bermula Jumaat hingga 6 Februari depan.

Sehubungan itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak, sekali gus sebagai rujukan dan panduan orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS menggalakkan orang ramai merancang perjalanan berpandukan kepada TTA, bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuh raya apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi, terkumpul di satu-satu lokasi lebuh raya secara serentak.

"Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak, serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

"Untuk ke destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuh raya selepas jam 1 petang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Zakaria turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan, ketika berhenti rehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

"Pada ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R. Pengguna lebuh raya diingatkan memandu dengan lebih berhati-hati dan lebih peka ketika hujan, serta mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan.

"Perancangan perjalanan yang teliti dan penyelenggaraan kenderaan perlu diberi keutamaan bagi meningkatan keselamatan, selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang, serta kerusi keselamatan kanak-kanak,” katanya.

Pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800-88-0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari dengan secara keseluruhan 5,000 kakitangan dari ekosistem lebuh raya akan bertugas dan bersedia memastikan segala operasi dan perkhidmatan lancar.

Artikel Berkaitan:

Seramai 587 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dari Polis Diraja Malaysia, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, St John Ambulance serta Persatuan Bulan Sabit Merah, akan diletakkan dalam keadaan bersedia 24 jam sehari bermula dari 24 Jan hingga 8 Feb depan.

Sebagai sokongan seramai 209 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia akan ditempatkan di Plaza tol dan kawasan rehat bagi membantu kelancaran trafik. Untuk maklumat trafik terkini sila rujuk platform media sosial PLUS melalui laman sesawang www.plus.com.my, Twitter PLUSTrafik, Applikasi PLUS atau hubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000. - Bernama