Mahkamah benar Siti Bainun dapatkan sementara pasport ke Filipina

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat membenarkan permohonan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri program sukarelawan di Filipina.

Hakim Izralizam Sanusi memberikan pelepasan sementara pasport itu dari hari ini hingga 11 Februari depan selepas mendengar hujahan peguam Farhan Maaruf, yang mewakili Siti Bainun, dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zilfinaz Abbas.

"Perkara pertama yang dinilai oleh mahkamah ialah sama ada terdapat asas untuk tertuduh melarikan diri. Saya berpendapat tiada risiko untuk pemohon melarikan diri dan berdasarkan rekod, pemohon tidak pernah gagal hadir di mahkamah dan sentiasa memberikan kerjasama.

"Setelah mempertimbang hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah membenarkan pemulangan sementara pasport bermula hari ini dan pemohon perlu menyerahkannya semula kepada mahkamah sebelum atau pada 11 Februari selain wang jaminan sebelum ini RM17,000 dinaikkan RM3,000 menjadikan keseluruhannya RM20,000,” katanya.

Terdahulu, Farhan memaklumkan mahkamah bahawa pada 3 Januari lepas, Siti Bainun menerima jemputan daripada Cebu Madinah Mosque di Punta, San Remigio, Filipina untuk menghadiri program pembangunan komuniti selama seminggu dari 3 hingga 9 Februari.

"Pemohon menyertai program tersebut sejak 2014 dan kebiasaannya akan berkunjung ke sana pada minggu pertama bulan Ramadan setiap tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda negara. Perbicaraan kes yang dihadapinya bermula awal Ramadan maka pemohon ingin menghadiri program itu lebih awal daripada biasa.

"Beliau perlu berada di sana bagi menguruskan wang sumbangan daripada individu di Malaysia. Pihak kami percaya wang sumbangan itu boleh diserahkan menerusi pemindahan wang namun pemohon perlu berada di sana bagi meyakinkan individu yang telah mengamanahkan wang sumbangan kepadanya supaya penerima menerima wang tersebut,” katanya yang turut dibantu peguam M Yalini.

Ditanya Hakim Izralizam mengapa permohonan itu difailkan petang semalam sedangkan Siti Bainun menerima jemputan pada 3 Januari lepas, Farhan berkata terdapat kesalahan pada isi kandungan dan anak guamnya menerima surat yang telah dikemas kini pada Rabu lepas.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berhujah tiada risiko untuk anak guamnya melarikan diri kerana Siti Bainun memiliki segala-galanya di Malaysia seperti keluarga, perniagaan dan pekerjaan hakiki.

"Tambahan pula kes itu telah mendapat liputan media dan beliau perlu berada di Malaysia untuk menjawab segala pertuduhan serta membersihkan namanya, jadi tiada sebarang risiko untuk Siti Bainun melarikan diri,” katanya.

Zilfinaz, yang dibantu oleh TPR Noor Shakira Aliana Alias, pula membantah permohonan itu kerana ia dikemukakan pada saat-saat akhir sedangkan Siti Bainun menerima jemputan lebih awal dan ini menunjukkan pemohon mengambil kesempatan untuk meraikan Tahun Baharu Cina sebelum program itu.

"Pada surat tersebut tidak dinyatakan tarikh tetap dan atur cara program, oleh itu dikhuatiri pemohon akan mengambil kesempatan,” katanya sambil menambah Siti Bainun hanya peserta dan ketidakhadiran beliau tidak menjejaskan program itu.

Beliau berkata tarikh perbicaraan kes itu semakin hampir dan memandangkan jangkitan Covid-19 di Filipina menyaksikan peningkatan, ia membahayakan pemohon manakala kelancaran prosiding mahkamah akan terjejas sekiranya Siti Bainun dijangkiti wabak tersebut.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung selama 15 hari mulai 30 Mac dan 34 saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan. - Bernama