X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Pelajar UniSZA kutip 1 tan sampah dalam tempoh tiga jam

Pelajar bergotong royong mengumpulkan sampah yang telah dikutip.
A
A

KUALA NERUS – Lebih satu tan sampah termasuk botol plastik dan jala ikan lama berjaya dikutip oleh pelajar antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam program pembersihan pantai diadakan di pantai Seberang Takir, di sini pada Khamis.

Pengarah Pusat Antarabangsa UniSZA, Anuar McAfee berkata, semua sampah tersebut dikumpulkan dalam tempoh tiga jam aktiviti berkenaan diadakan bermula jam 7.30 pagi melibatkan 37 penuntut dari luar negara.

“Aktiviti begini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mencintai alam sekitar dan memupuk satu budaya dalam mengekalkan kebersihan pantai dan kelestarian laut.

“Ia penting kerana sampah seperti plastik yang tidak dibuang secara betul akan menjejaskan kehidupan marin terutamanya penyu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, program julung kali diadakan dengan kolaborasi bersama Koperasi Homestay Teluk Ketapang itu disertai pelajar dari beberapa negara seperti Syria, Bangladesh, Pakistan, Nigeria dan Indonesia.

Anuar berkata, selain dapat menjaga kelestarian alam sekitar, aktiviti tersebut juga dapat mewujudkan hubungan baik bersama komuniti setempat dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar berkenaan berkenalan serta mengenali masyarakat tempatan.

“UniSZA mempunyai 1,170 orang pelajar antarabangsa dari 40 buah negara yang mengambil Ijazah Sarjana Muda, Master dan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang.

“Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan terhadap alam sekitar dan kepekaan kepada isu semasa seiring dengan moto universiti sendiri iaitu “Ilmu demi faedah insan”,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!