20 atlet olahraga dijangka layak ke Hanoi

Iskandar antara atlet olahraga yang telah layak secara merit ke Sukan SEA di Hanoi.
Iskandar antara atlet olahraga yang telah layak secara merit ke Sukan SEA di Hanoi.
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) menjangkakan 20 atlet balapan dan padang layak berdasarkan merit ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung pada 12 hingga 23 Mei ini.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-97 pada 4 hingga 6 Mac ini bakal menjadi platform terakhir kepada para atlet merebut tempat ke Hanoi selepas hanya 10 atlet telah melepasi kelayakan ke temasya dwitahunan itu.

"Saya harap semua atlet akan memberi persembahan terbaik mereka untuk meraih tempat ke Hanoi. Kami mahu seramai yang boleh, atlet yang layak berdasarkan merit ke Sukan SEA,” katanya ketika dihubungi.

Syarat kelayakan ke Sukan SEA sekurang-kurangnya kedudukan di tiga tempat teratas (masa, jarak atau ketinggian) pada edisi sebelum ini.

Atlet yang layak ialah atlet baling tukul besi, Jackie Wong Siew Cheer; Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera); Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi); Mohd Iskandar Alwi (lompat bergalah); Mohammad Amirul Arif Mohd Azri (1,500 meter) serta Muhammad Zulfiqar Ismail dan Russel Alexander Nasir Taib (pelari pecut).

Bagi kategori wanita pula, atlet baling tukul besi, Grace Wong Xiu Mei serta atlet lempar cakera, Queenie Ting dan Choo Kang Ni juga telah melepasi had kelayakan menerusi kejohanan baru-baru ini.

Bagaimanapun, juara bertahan 100m, Muhammad Haiqal Hanafi; juara lompat tinggi, Lee Hup Wei; pemenang pingat perak lompat jauh, Andre Anura Anuar; raja pecut edisi 2017, Khairul Hafiz Jantan dan juara dua kali 110m lagi berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian masih belum melayakkan diri ke temasya itu.

Sementara itu, Muthu berkata, selain Terbuka Malaysia, KOM turut menyediakan enam kejohanan peringkat tempatan lain sepanjang tahun ini, termasuk Grand Prix Malaysia ke-3 pada Jun, Kejohanan Olahraga Remaja Kebangsaan (Julai), Relay Kebangsaan (September) dan Rentas Desa Kebangsaan (November).

Artikel Berkaitan:

KOM juga mahu menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara dijadual pada 22-23 Oktober depan. - Bernama