Pengarah syarikat bebas tuduhan pindah wang, invois palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat pembekal perkhidmatan barang elektrik dan kelengkapan rumah bergelar Datuk, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 43 pertuduhan berhubung pindahan wang berjumlah RM16.5 juta dan 75 pertuduhan mengemukakan invois palsu berjumlah RM20.7 juta.

Hakim Rozina Ayob membebaskan Datuk K. Jayakumar, 47, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, di akhir kes pendakwaan.

"Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada kesemua pertuduhan,” kata Rozina.

Seramai 36 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 29 Oktober 2018.

Jayakumar dituduh atas 43 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM16.5 juta daripada akaun Maybank SMT Rezeki Sdn Bhd ke akaun Maybank milik Sinar Mentari Technology Sdn Bhd, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah pejabat di Jalan 13/48A, Sentul Raya Boulevard, Sentul, di sini, antara Mei 2015 dan Januari 2016 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram.

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan, atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Bagi 75 pertuduhan invois palsu, dia didakwa memberi dokumen Invois TTD Solutions Sdn Bhd berjumlah RM20.7 juta, yang mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan pakej dua model telefon pintar kepada ejen yang mempunyai kepentingan bertujuan mengelirukan prinsipal ejen berkenaan, sehingga mendorong Koperasi Telekom Malaysia Berhad (Kotamas) membuat pembayaran tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Kotamas, Wisma Kotamas, Jalan Datuk Haji Eusoff, Kompleks Damai, di sini, antara Jun dan Disember 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu, jika butir matan yang palsu itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat, manakala peguam Shashi Devan dan Teh See Khoon mewakili Jayakumar. - Bernama