'Jangan terpengaruh khabar angin krisis makanan'

Wan Romaini (dua dari kanan) menunjukkan ayam yang berharga RM10 seekor yang dijual di Program Bazar Rakyat Pemuda Sejahtera Parlimen Pokok Sena di sini pada Jumaat.
Wan Romaini (dua dari kanan) menunjukkan ayam yang berharga RM10 seekor yang dijual di Program Bazar Rakyat Pemuda Sejahtera Parlimen Pokok Sena di sini pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Rakyat Kedah dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin mengenai krisis makanan yang dijangka melanda negara pada tahun ini.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Wan Romaini Wan Salin berkata, tindakan itu boleh menyebabkan timbulnya kegelisahan dan pembelian panik dalam masyarakat.

Menurutnya, masyarakat seharusnya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih contohnya melalui media arus perdana.

"Jangan kita ambil mudah dan terus percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui Facebook dan WhatsApp.

"Setakat ini bekalan makanan masih mencukupi dan pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau bekalan dan harga di seluruh negeri Kedah," katanya ketika ditemui di Program Bazar Rakyat Pemuda Sejahtera Parlimen Pokok Sena di sini pada Jumaat.

Beliau menegaskan, tindakan boleh diambil kepada individu yang didapati menyebarkan berita palsu sehingga mencetuskan kegelisahan masyarakat.

"Sekiranya perkara yang ditularkan itu adalah palsu, kita berhak untuk mendakwa individu terbabit menerusi akta yang telah diperuntukkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Romaini berkata, barangan keperluan dan makanan sempena Tahun Baharu Cina mencukupi.

"KPDNHEP akan membuat pemantauan untuk memastikan tiada peniaga yang melanggar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (SHMTBC) 2022 bermula 29 Januari sehingga 4 Februari depan," katanya.

Mengulas mengenai Bazar Rakyat, beliau berkata, terdapat enam jenis barangan keperluan yang dijual bawah pada harga pasaran di bazar terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Antara barangan yang menjadi tumpuan termasuk ayam yang dijual pada harga RM10 seekor, beras 5 kilogram (RM10) dan gula RM2.50 sepeket.

"Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan dan kita akan cuba untuk menambah lain-lain barangan pada masa akan datang," katanya.