Banjir landa negara akibatkan kerugian cecah RM6.1 bilion

Situasi banjir di sekitar kawasan Sri Muda, Shah Alam yang ditenggelami air akibat banjir kilat ketika tinjauan 19 Disember lalu. - Foto Bernama
Situasi banjir di sekitar kawasan Sri Muda, Shah Alam yang ditenggelami air akibat banjir kilat ketika tinjauan 19 Disember lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Banjir yang melanda negara pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini telah mengakibatkan kerugian berjumlah RM6.1 bilion, bersamaan 0.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar nominal, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Pengarah DOSM Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2021 yang dikeluarkan hari ini, aset awam dan infrastruktur mengalami kerugian tertinggi iaitu sebanyak (RM2.0 bilion), diikuti tempat kediaman (RM1.6 bilion) dan kenderaan (RM1.0 bilion).

Sementara itu beliau berkata sektor pembuatan mengalami kerugian RM0.9 bilion, premis perniagaan (RM0.5 bilion) dan pertanian (RM90.6 juta).

Laporan berkenaan yang membentangkan impak banjir, kajian kes di sekitar Lembah Klang dan statistik ekonomi sosial di peringkat daerah berkenaan diperoleh berdasarkan survei khas untuk menilai impak banjir yang dijalankan pada 30 Dis lepas sehingga semalam (27 Jan).

DOSM menggunakan kaedah banci secara bersemuka di kawasan terlibat yang menggunakan soal selidik, kaedah pemerhatian dan panggilan telefon selain menggunakan data pentadbiran yang diperoleh daripada pelbagai agensi sebagai kaedah pengumpulan data untuk survei itu.

Negeri yang terkesan adalah Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Kuala Lumpur.

Berdasarkan laporan itu, Selangor merupakan negeri mencatatkan kerugian tertinggi bagi kategori melibatkan tempat kediaman, sektor pembuatan, kenderaan dan premis perniagaan.

Bagi kategori kediaman, Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan kerugian berjumlah RM1 bilion, diikuti Pahang (RM425.6 juta) dan Melaka (RM69.7 juta).

Artikel Berkaitan:

"Daerah catat kerugian tertinggi di Selangor bagi kategori kediaman adalah Petaling (RM258 juta), diikuti Hulu Langat RM253.6 juta dan Klang (RM252.8 juta),” katanya.

Bagi kenderaan, tiga negeri mencatatkan kerugian tertinggi adalah Selangor iaitu sebanyak RM855 juta, Pahang (RM78.2 juta) dan Negeri Sembilan (RM18.3 juta), kata beliau.

"Daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi bagi kerosakan kenderaan di negeri Selangor adalah Petaling iaitu RM328.3 juta, diikuti Klang (RM276.9 juta) dan Hulu Langat (RM155.5 juta),” katanya.

Mohd Uzir berkata bagi sektor pembuatan, Selangor merekodkan kerugian sejumlah RM884.5 juta, diikuti Pahang RM5.6 juta dan Negeri Sembilan RM1.2 juta.

"Selangor turut mencatatkan kerugian premis perniagaan berjumlah RM396.4 juta. Pahang merupakan negeri kedua tertinggi dengan kerugian RM83.8 juta dan seterusnya Johor (RM13.8 juta),” katanya.

Beliau berkata kajian-kajian lain yang telah dilaksanakan oleh DOSM di negeri terkesan banjir turut dimuatkan di dalam laporan itu bertujuan membantu pengguna memahami situasi banjir yang melanda negara. - Bernama