Lapan ditahan hadir majlis pertubuhan haram

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Lapan lelaki ditahan polis selepas dipercayai menghadiri majlis perasmian pejabat sebuah pertubuhan haram di Bukit Baru di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada Selasa lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua individu itu dipercayai menganggotai dan menjalankan aktiviti pertubuhan triad.

"Ini merupakan pertubuhan menyalahi undang-undang.

"Adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 kepada mana-mana individu yang didapati menjalankan upacara triad sesebuah kumpulan kongsi gelap ," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, seramai 22 individu termasuk dua wanita yang hadir ketika perhimpunan itu turut dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah selepas polis mengenalpasti satu rakaman video yang tular di media sosial mengenai perhimpunan tersebut.

Ujar beliau, siasatan yang dijalankan mendapati seramai 30 individu termasuk lapan yang ditahan didapati telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kata beliau, kesemua mereka kemudian dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 setiap seorang atas kesalahan tiada penjarakan fizikal satu meter di bawah Peraturan 16 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam sebarang bentuk kumpulan kongsi gelap kerana ia akan mendatangkan kesan buruk terhadap diri, keluarga dan masyarakat," katanya.