FKMM gesa hapus subsidi input pertanian melalui vendor

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menggesa agar kaedah pemberian subsidi input pertanian melalui vendor menerusi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dihapuskan. - Foto 123rf
Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menggesa agar kaedah pemberian subsidi input pertanian melalui vendor menerusi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dihapuskan. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menggesa agar kaedah pemberian subsidi input pertanian melalui vendor menerusi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dihapuskan.

Koordinator FKMM, Nurfitri Amir Muhammad berkata, ia perlu digantikan dengan sistem bayaran terus kepada pesawah supaya mereka dapat memilih sistem kawalan perosak dan rumpai yang sesuai dengan sawah masing-masing.

Beliau berkata, subsidi melalui skim SIPP tersebut tidak diberikan terus kepada petani, tetapi kepada vendor input racun dan baja serta pengusaha jentera.

“Pesawah hanya boleh memilih jenis racun atau baja yang hendak digunakan daripada satu senarai khas yang terhad.

"Ini bermakna, tambahan RM62 juta yang diumumkan untuk insentif racun pada 23 Januari lalu sebenarnya hanya akan menguntungkan syarikat pengeluar kerana petani terikat kepada pilihan yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan penambahan peruntukan sebanyak RM62 juta untuk subsidi racun kepada para pesawah bagi menampung kenaikan harga barangan itu.

Mengulas lanjut mengenai SIPP, Nurfitri berkata, FKMM berpendirian bahawa tambahan subsidi racun melalui skim itu bukanlah penyelesaian jangka masa panjang terhadap masalah kenaikan kos bersawah.

Jelasnya, jika kerajaan terus menggalakkan penggunaan racun kimia dalam pertanian, kenaikan kos pada masa hadapan akan terus berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Dua tahun sejak bermulanya pandemik, kos pertanian telah meningkat dengan mendadak kerana gangguan logistik dan bahan mentah.

“Harga benih, baja, alat ganti jentera dan racun semuanya meningkat. Harga racun misalnya, meningkat antara 50 hingga 100 peratus.

“Petani di Malaysia sudah terbiasa diajar menggunakan racun sebagai penyelesaian kepada semua masalah perosak dan rumpai, tanpa disedari, amalan ini menjadi beban yang semakin berat untuk ditanggung setiap tahun,” ujarnya.

Menurut beliau, kesedaran terhadap bahaya bergantung kepada racun kimia semakin meningkat dalam kalangan pesawah.

Bagaimanapun, tambahnya, mereka tidak diberi ruang untuk berubah kepada sistem pertanian tanpa kimia yang lebih selamat dan menjimatkan dalam jangka masa panjang.

“MAFI patut mengambil kesempatan melalui skim SIPP ini untuk menggalakkan peralihan petani di Malaysia ke arah pertanian alami dan organik sesuai dengan inisiatif MAFI sedia ada seperti myOrganic, myGAP dan program kebun komuniti.

“Tindakan subsidi racun ini juga bercanggah dengan kenyataan menteri di Parlimen tahun lalu yang memberi komitmen untuk meningkatkan pertanian organik di Malaysia,” katanya.