X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

15 kluster pendidikan dikesan di Pahang, 554 pelajar dijangkiti

Dr Nor Azimi (dua kanan) melakukan pemeriksaan di sebuah premis makanan sempena Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega Bagi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Pematuhan SOP Akta 342 dan Akta Makanan 1983 Peringkat JKNP di Kuantan, pada Jumaat.
A
A

KUANTAN - Kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan kluster pendidikan di Pahang agak membimbangkan susulan 15 kluster dikesan melibatkan seramai 554 pelajar dijangkiti, setakat ini.

Kluster itu dikesan sejak pembukaan sesi persekolahan tahun ini merangkumi sekolah rendah dan menengah, kolej serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada 15 kluster itu, tujuh kluster masih aktif termasuk di Kolej Vokasional (KV) Bentong; KV Rompin dan Kluster Jalan Medang melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chemomoi di Bentong.

Menurutnya, kluster pendidikan dikenal pasti antara penyumbang peningkatan kes positif Covid-19 di Pahang dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

"Jika sebelum ini kes harian dicatatkan kira-kira 200 kes sehari namun kini melonjak kepada lebih 300 kes," katanya dalam sidang akhbar sempena Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega Bagi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Akta 342 dan Akta Makanan 1983 Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) di sini, pada Jumaat.

Dr Nor Azimi berkata, antara faktor penyumbang kewujudan kluster pendidikan di negeri itu termasuk kurang atau tiada pematuhan SOP dalam kalangan pelajar terutama di luar bilik darjah termasuk di asrama.

"Selain itu didapati ada pelajar atau kakitangan institusi pendidikan yang bergejala masih datang ke sekolah kerana beranggapan simptom itu hanya demam biasa.

"Keadaan diburukkan lagi apabila mereka yang bergejala lambat membuat pengesahan di klinik sehingga mendedahkan pelajar lain kepada risiko jangkitan menyebabkan berlaku kes yang tinggi dalam masa singkat,"katanya.

Sementara itu beliau berkata, JKNP menyasarkan seramai 205,986 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun untuk pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang dijangka mula dilaksanakan pada 3 Februari ini.

"Banyak kaedah dibincangkan di peringkat kementerian termasuk guna kaedah sedia ada di klinik kesihatan atau di sekolah yang dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV)," katanya.

Mengulas berhubung kes positif Covid-19 varian Omicron di Pahang, Dr Nor Azimi berkata, keadaan masih terkawal dengan hanya 19 kes direkodkan setakat ini.

"Daripada jumlah kes direkodkan, tujuh kes di Kuantan, Jerantut (5 kes), Temerloh (4 kes),Rompin (2 kes) dan Bentong (1 kes). Sebahagian besar kes melibatkan jemaah umrah," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!