Perdana Menteri tinjau Menara Kuantan 188

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tertarik melihat peserta “skywalk” yang memakai pakaian tradisional semasa melakukan aktiviti tersebut ketika mengadakan lawatan ke Menara Kuantan 188 di sini hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tertarik melihat peserta “skywalk” yang memakai pakaian tradisional semasa melakukan aktiviti tersebut ketika mengadakan lawatan ke Menara Kuantan 188 di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat meninjau Menara Kuantan 188 yang merupakan antara produk pelancongan terkini dan ikonik yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di tepi pesisir Sungai Kuantan di sini.

Beliau tiba di menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur itu, pada 12.10 tengah hari dengan menaiki kereta bugi dari dari Kompleks Bandaraya Kuantan yang terletak kira-kira 200 meter dari menara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Turut sama ialah Menteri Besar dari negeri Pantai Timur iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan) serta Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Setibanya di perkarangan Menara Kuantan 188, Perdana Menteri juga mendengar taklimat dan meninjau kenderaan rekreasi (RV) atau lebih dikenali sebagai karaven yang merupakan satu daripada produk pelancongan terkini yang dicadangkan oleh ECERDC untuk dibangunkan di sebuah daerah di Pahang.

Beliau bersama rombongan tersebut juga dibawa ke 'skydeck' Menara Kuantan yang menyajikan pemandangan 360 darjah keseluruhan bandar raya Kuantan.

Ismail Sabri dan delegasi lawatan mengadakan Mesyuarat Pembangunan Pertama bagi Edisi 2022 bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang diadakan secara tertutup dalam lawatannya ke Kuantan hari ini. - Foto ECERDC
Ismail Sabri dan delegasi lawatan mengadakan Mesyuarat Pembangunan Pertama bagi Edisi 2022 bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang diadakan secara tertutup dalam lawatannya ke Kuantan hari ini. - Foto ECERDC

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat menerusi kenyataan media yang diedarkan berkata pelancongan RV merupakan trend semasa yang semakin popular kerana ia memberi pilihan konsep pelancongan lebih terbuka untuk pelbagai aktiviti luar dan aktiviti peribadi.

"Industri pelancongan RV sedang berkembang pesat di negara seperti Australia, China, Korea Selatan, Jepun dan New Zealand serta menjadi komponen penting bagi ekonomi negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ini membuka peluang untuk Malaysia secara amnya dan ECER secara khususnya untuk memanfaatkan trend ini untuk mewujudkan peluang pertumbuhan pelancongan baharu di ECER dan meneroka potensi membangunkan industri RV di wilayah ini," katanya.

Mengenai Menara Kuantan 188, Baizawi berkata seramai 23,600 pelawat telah mengunjungi menara tersebut sejak ia dibuka secara rasmi pada 15 Dis lepas.

Konsep reka bentuk pembinaan menara itu inspirasi daripada daun dan bunga pokok Teruntum Putih yang dulunya banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan. - Bernama