Tiga rakan termasuk ibu tunggal dijel 14 bulan guna wang palsu

Tertuduh berbaju t-shirt putih, coklat dan biru diiringi anggota polis sebaik selesai pertuduhan.
Tertuduh berbaju t-shirt putih, coklat dan biru diiringi anggota polis sebaik selesai pertuduhan.
A
A
A

KUALA PILAH - Tiga rakan termasuk seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada Jumaat, selepas mengaku bersalah menggunakan wang palsu sebagai tulen untuk berbelanja.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu sebaik tertuduh, Md Ross Louis Hisham Louis, 46, Nurul Ain Atiqah Kardi, 24 dan Nurul Najwa Zulkifli, 21 membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh secara bersama telah menggunakan wang palsu di sebuah kedai di Bahau, Jempol sebanyak RM100 pada jam 4 petang, 7 Januari lepas.

Tertuduh turut melakukan kesalahan sama di empat premis perniagaan berasingan di Pekan Gemas pada 11 Januari lalu antara jam 3 petang hingga 10 malam.

Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan bolehlah dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, Md Ross Louis dalam rayuannya memohon agar hukuman dikurangkan kerana menjaga ibu yang sakit, manakala Nurul Ain Atiqah turut memohon hukumannya diringankan berikutan dia merupakan ibu tunggal dan perlu menanggung dua anak.

Sementara itu, Muhammad Amirul Noor Hashimi dalam pendakwaannya memohon hukuman setimpal dan memberikan pengajaran kepada tertuduh disebabkan kesalahan tersebut membabitkan kepentingan awam dan digunakan berurusan pembelian barangan yang boleh mendatangkan kerugian.

Artikel Berkaitan:

Hakim kemudian memerintahkan kesemua tertuduh dikenakan hukuman penjara 14 bulan dan hukuman berjalan dari tarikh penahanan tertuduh.