X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Isu Azam Baki: Proses penyiasatan SPRM mesti telus

SPRM terpalit pelbagai isu yang mencalarkan imejnya.(Gambar kecil ) Aira
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hendaklah telus kepada rakyat dalam siasatan yang dilakukan.

Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Aira Azhari berkata, rakyat berhak mengetahui mengenai butiran proses penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM.

Menurutnya, ia terutama bagi kes pegawai tinggi awam berikutan kontroversi perdagangan saham yang dikaitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, Tan Sri Azam Baki.

“Apa yang perlu kita bimbangkan adalah, kita tidak tahu apakah proses penyiasatan itu.

“Sebagai rakyat, kita berhak tahu apakah proses yang berlaku jika pegawai awam tertinggi kita dituduh, dan ia adalah satu tuduhan yang serius,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian semasa Wacana Sinar Dailly yang bertajuk ‘Reforming MACC - With or Without Azam Baki’ yang disiarkan di seluruh platform Sinar Harian.

Turut hadir Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi, Cynthia Gabriel dan Penganalisis Politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun.

Beliau berkata, adalah penting bagi SPRM untuk bersikap telus bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap badan pencegah rasuah itu.

Kontroversi yang menyelubungi Azam Baki bermula dengan pendedahan bahawa beliau didakwa memiliki saham yang didagangkan secara terbuka dalam jumlah berjuta-juta.

Bagaimanapun, Azam Baki dalam sidang media awal tahun ini berkata, dia tidak mempunyai kepentingan atau faedah dalam saham yang dibeli dan ia dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya, Nasir Baki yang menggunakan dana sendiri, dan saham syarikat.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan, pihaknya tidak dapat memberi kepastian muktamad bahawa berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung kontroversi pemilikan saham membabitkan Azam Baki.

Menerusi kenyataan ringkas itu, SC berkata, kesimpulan siasatan itu dibuat bersandarkan kepada bukti terkumpul.

Di bawah Seksyen 25(4) SICDA, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.

Pada 22 Januari, satu protes yang dihadiri ratusan orang telah diadakan di Kuala Lumpur di mana mereka menggesa Azam Baki ditangkap.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!